Perkasa Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Perkasa Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983

Perkasa Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983

Article Summary
Pentakrifan penagihan sebagai penyakit merupakan langkah tepat kerana ia membantu mengurangkan stigma dan menggalakkan individu yang menghadapi masalah ketagihan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan.


Oleh: DR. MOHAMAD SALLEH BIN ABDUL GHANI

Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

 

 

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dadah antara yang ekstrim didunia dan mula diperkenalkan pada tahun 1952 melalui pewartaan Akta Dadah Berbahaya, 1952.

 

Undang-undang ini dilihat agak ketinggalan dan memberi penekanan tinggi kepada hukuman berat bagi pengedar dan penagih dadah.

 

Baru-baru ini, hangat dibincangkan di dalam dan di luar Dewan Rakyat berkaitan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

 

Namun, setelah bacaan kali ke-dua di dalam dewan, perbahasan ditangguhkan pada masa yang lain bagi membolehkan ianya diperhalusi oleh semua pihak melalui sesi libat urus lanjutan bersama semua pemegang taruh, pakar bidang, agensi kerajaan, dan badan bukan kerajaan (NGO).

 

Didapati bahawa kaedah sedia ada yang menganggap penagihan dadah sebagai kesalahan jenayah adalah kurang berkesan dalam mengurangkan bilangan penagih. Kaedah ini juga tidak selari dengan kajian ilmiah serta definisi penagihan sebagai penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

Kali ini, pindaan yang dibuat selari dengan WHO yang mendefinisikan penagih dadah sebagai seorang pesakit. Definisi ini telah digunapakai di peringkat antarabangsa sejak tahun 1987 lagi.

 

Jadi, pentakrifan penagihan sebagai penyakit merupakan langkah tepat kerana ia membantu mengurangkan stigma dan menggalakkan individu yang menghadapi masalah ketagihan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan.

 

Namun, keseriusan kerajaan masih dipersoalkan apabila isu ini masih diletakkan dibawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan bukannya Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertanggungjawab ke atas isu kesihatan negara.

 

Memperluaskan Liputan dan Akses Kepada Rawatan dan Pemulihan

 

Pada tahun 2022, dianggarkan 64 juta orang di seluruh dunia terlibat dengan penagihan dadah, namun hanya seorang daripada 11 orang menerima rawatan.

 

Liputan rawatan dan pemulihan dadah menurun dari 11% pada tahun 2015 kepada 9% pada tahun 2022 akibat pandemik COVID-19.

 

Di Malaysia, kajian menunjukkan bagi setiap seorang penagih yang dirawat, terdapat antara enam hingga 10 orang yang masih belum dikesan dan dirawat.

 

Oleh itu, penagih perlu dibantu melalui pelbagai kaedah, termasuk secara sukarela dan paksaan, sesuai dengan prinsip rawatan dan pemulihan.

 

Pindaan ini memfokuskan kepada memperbaiki kecekapan dan proses pemberian perkhidmatan oleh AADK.

 

Memberikan kuasa tertentu kepada pegawai AADK dapat mempercepatkan pengesahan penagih dadah yang ingin mendapatkan rawatan secara sukarela, tanpa perlu melalui ujian patologi yang memakan masa.

 

Namun begitu, isu utama adalah sejauh mana ia membantu menggalakkan penagih dan penyalahguna dadah untuk hadir mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela.

 

Kebiasaannya, penagih yang datang secara sukarela mempunyai tahap keparahan ketagihan yang rendah dan sederhana serta golongan yang kali pertama terbuka untuk mendapatkan rawatan.

 

Namun, kerisauan kepada orang ramai adalah mengenai rekod dan tempoh masa wajib yang dinyatakan dalam akta bagi penagih yang ingin mendapatkan rawatan.

 

Penagih yang ingin mendapatkan rawatan perlu melalui tempoh rawatan dan pengawasan tertentu sama seperti penagih yang ditahan melalui penguatkuasaan undang-undang. Ini akan menghalang keinginan untuk mendapatkan rawatan.

 

Justeru, dicadangkan bagi penagih yang ingin mendapatkan rawatan secara sukarela, diberi layanan seperti penagih lain di fasiliti perubatan atau pusat pemulihan dadah persendirian, AADK boleh mengesyorkan rawatan pemulihan yang bersesuaian.

 

Bagaimanapun, mereka perlu diberi hak untuk membuat pilihan bentuk rawatan yang bersesuaian tanpa perlu merasa takut dan dikenakan sebarang hukuman atau rekod kesalahan jenayah yang kekal.

 

Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu dilibatkan dalam pemulihan dadah untuk golongan bawah umur, namun bukanlah secara paksaan dan tidak menghukum ibu bapa yang gagal mengikuti rawatan bersama anak. Khuatir keadaan ini menghalang ibu bapa untuk menghantar anak bagi mendapatkan rawatan secara sukarela.

 

Ibu bapa mungkin menyembunyikan masalah ini kerana takut akan tindakan undang-undang.

 

Kebiasaannya, penagih datang dari latar belakang sosio-ekonomi rendah, keluarga porak peranda, atau mempunyai masalah lain yang menyukarkan ibu bapa untuk turut serta dalam program.

 

Oleh itu, keperluan melibatkan ibu bapa dalam program rawatan perlu diteliti dengan adil agar tidak membebankan mereka.

 

Sebaliknya, konsep pengukuhan positif perlu diterapkan dengan memberikan ganjaran seperti cuti tanpa rekod, elaun khas, atau elaun pengangkutan untuk menggalakkan kehadiran mereka dalam proses rawatan dan pemulihan anak.

 

Seterusnya, perluasan liputan dan akses kepada rawatan dadah akan meningkatkan jumlah individu yang memerlukan rawatan, melebihi kapasiti fasiliti kerajaan di bawah AADK.

 

Oleh itu, kerajaan perlu meningkatkan kemampuan AADK dari segi sumber manusia dan fasiliti serta melibatkan NGO dan pusat pemulihan persendirian.

 

Mengekalkan Kepulihan Individu yang Telah Mendapat Rawatan

 

Penagihan dadah adalah penyakit kronik yang berulang dengan kadar 40-60% kemungkinan untuk penagih menagih semula. Untuk mencegah penagihan semula, faktor pelindung seperti pekerjaan dan pendapatan stabil perlu dipertingkatkan.

 

Namun, rekod jenayah penagihan menyukarkan bekas penagih mendapatkan pekerjaan dan pindaan akta yang dibahaskan tidak menangani isu ini.

 

Selain itu, tempoh pengawasan penagih yang panjang di satu kawasan perlu dikaji semula kerana lebih banyak kemudaratan. Kajian menunjukkan risiko penagihan semula akan meningkat di tempat kebiasaan penagih.

 

Maka, seseorang yang dalam proses pemulihan dadah adalah digalakkan berpindah ke tempat lain di mana akses kepada dadah sukar diperolehi dan membantu menjalani kehidupan normal dalam masyarakat.

 

Melalui teknologi dan perhubungan moden pada masa kini, kaedah pengawasan juga mungkin boleh ditingkatkan dan dipermudahkan supaya lebih praktikal pada zaman sekarang.

 

Secara keseluruhannya, pindaan ini jika dilaksanakan dengan teliti dan inklusif, berpotensi besar untuk membawa perubahan positif dalam landskap rawatan dan pemulihan dadah di negara ini. -UPM 

Date of Input: 11/07/2024 | Updated: 12/07/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLcWAO~