Pelajar UPM Bangunkan Sistem Navigasi Robotik Masa Nyata Untuk Pertanian | Universiti Putra Malaysia 99 exweb00
» ARTICLE » Pelajar UPM Bangunkan Sistem Navigasi Robotik Masa Nyata Untuk Pertanian

Pelajar UPM Bangunkan Sistem Navigasi Robotik Masa Nyata Untuk Pertanian

Article Summary
Kekurangan tenaga buruh yang semakin kritikal dalam sektor pertanian mendorong seorang pelajar tahun akhir Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan sistem navigasi robotik secara masa-nyata (real-time) yang berpotensi menyokong automasi di kawasan ladang.


 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim


Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 7 Ogos – Kekurangan tenaga buruh yang semakin kritikal dalam sektor pertanian mendorong seorang pelajar tahun akhir Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan sistem navigasi robotik secara masa-nyata (real-time) yang berpotensi menyokong automasi di kawasan ladang.

 

 

Muhamad Iman Syafuan Mohamad Santosa, pelajar Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, berkata idea kajian itu tercetus daripada keperluan industri pertanian negara yang memerlukan penyelesaian teknologi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

 

 

Beliau berkata, kajian tersebut berpotensi untuk dikembangkan pada masa hadapan sebagai salah satu alternatif bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi pertanian.

 

 

"Hasil paling menarik daripada kajian ini ialah kami berjaya menghasilkan teknik navigasi robotik secara masa-nyata tanpa perlu bergantung kepada pemprosesan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence,AI)," katanya.

 

 

Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan robot bergerak dan membuat navigasi secara langsung tanpa memerlukan proses AI yang kompleks, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan sistem robotik yang lebih praktikal untuk aplikasi pertanian.

 

 

Beliau berkata projek berkenaan berpotensi menjadi asas kepada penyelidikan robotik dalam bidang pertanian di UPM, khususnya melibatkan sistem navigasi robot bergerak (mobile robot) di kawasan ladang.

 

 

"Pada masa akan datang, kajian ini boleh diperluaskan kepada skala yang lebih besar bagi menyokong pembangunan teknologi pertanian pintar," katanya.

 

 

Antara cabaran utama sepanjang menyiapkan projek tersebut, beliau berkata ketiadaan asas dalam bidang robotik menyebabkan beliau perlu mempelajari keseluruhan teknologi itu dari peringkat awal.

 

 

"Saya perlu mencari idea untuk mereka bentuk sistem kawalan yang stabil bagi memastikan robot dapat berfungsi secara masa nyata. Pada masa yang sama, saya turut berdepan kekangan masa kerana perlu mengimbangi jadual pengajian yang padat dengan kerja sambilan untuk menyara diri," katanya.

 

 

Bagaimanapun, pengalaman itu banyak mengajar beliau mengenai kemahiran menyelesaikan masalah (problem-solving), di samping meningkatkan keupayaan berfikir secara kritikal sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.

 

 

Selain itu, beliau turut memperoleh kemahiran praktikal seperti membaca litar skematik serta melakukan kerja pematerian (soldering) sepanjang menjalankan penyelidikan tersebut.

 

 

Kajian berkenaan membuktikan potensi penyelidikan pelajar UPM dalam membangunkan penyelesaian teknologi yang mampu menyokong transformasi sektor pertanian negara melalui inovasi robotik dan automasi.

Date of Input: 07/08/2026 | Updated: 07/08/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZIIKAi~