Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 29 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pilihan pelajar dalam bidang Pertanian dan Keterjaminan Makanan (PKM) apabila seramai 1,349 pelajar baharu mendaftar dalam bidang berkenaan bagi sesi akademik tahun ini, meningkat 30 orang berbanding 1,319 pelajar pada tahun sebelumnya.
Peningkatan itu mencerminkan perkembangan positif hasil penyusunan semula program akademik UPM yang memperluas penawaran bidang pertanian dan keterjaminan makanan, selain memperkukuh daya saing program melalui pendekatan pembelajaran berasaskan industri serta penawaran pensijilan profesional.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib berkata, bidang PKM kekal sebagai fokus utama universiti, selaras dengan aspirasi UPM untuk menyokong pembangunan sektor makanan negara serta agenda kesihatan planet.
“Daripada keseluruhan 91 program yang ditawarkan di UPM sebanyak 37 peratus dikenal pasti sebagai program yang menyokong bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk program yang berkaitan dengan kesihatan planet.

“Sejak tahun 2026 kita telah menyusun semula program yang sebelum ini dikenali sebagai agrobio, daripada 20 kepada 35 program bagi memperluas skop bidang pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM.
Tambah beliau, penyusunan semula itu turut disertai usaha memastikan program dalam bidang berkenaan menjadi pilihan utama pelajar yang mempunyai pencapaian akademik cemerlang, dan bukan sekadar pilihan terakhir dalam permohonan kemasukan ke universiti.
“UPM menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pelajar baharu dalam program berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan memperoleh PNGK 3.50 dan ke atas, selaras dengan Pelan Strategik UPM 2026–2030 yang memberi penekanan terhadap pengambilan pelajar berkualiti dan pembangunan graduan berdaya saing.

“Melalui pembaharuan ini, kita mahu memastikan program pertanian dan keterjaminan makanan mempunyai pakej pengajian yang berdaya saing serta memenuhi keperluan industri, sekali gus menarik pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang baik,” katanya.
Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim berkata, dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, UPM turut memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk pensijilan profesional, mikrokredensial dan latihan industri berstruktur bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan oleh sektor pekerjaan.
Antara inisiatif berkenaan ialah program Bacelor Pertanian Pintar yang menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (work-based learning) menerusi model 3U1I, iaitu tiga tahun pengajian di universiti dan satu tahun pembelajaran di industri.
Menerusi pendekatan itu, pelajar mengikuti pembelajaran teori dan amali di UPM selama tiga tahun sebelum menjalani tahun keempat di industri yang dikenal pasti, dengan kandungan pembelajaran dan hasil pembelajaran yang ditetapkan universiti dilaksanakan melalui kerjasama bersama pihak industri.
“Pelajar yang mengikuti program ini bukan sekadar bekerja di industri, sebaliknya mereka masih menjalani proses pembelajaran dan perlu mencapai hasil pembelajaran yang telah ditetapkan.
“Melalui pendekatan ini, kita mahu memberi peluang kepada pelajar untuk diserap terus oleh industri selepas tamat pengajian, termasuk dalam bidang pengurusan ladang dan pentadbiran aktiviti pertanian,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan masih dalam peringkat rintis dengan sasaran pengambilan antara 20 hingga 25 peratus pelajar dan telah memperoleh akreditasi penuh.
UPM juga merancang untuk memperluas pendekatan pembelajaran berasaskan industri itu kepada program lain dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk melalui penawaran pensijilan profesional yang bersesuaian.
Dalam perkembangan lain, UPM turut menerima penyertaan pelajar antarabangsa daripada 35 negara bagi sesi kemasukan terkini, termasuk melalui program mobiliti jangka pendek dan pengajian sepenuh masa.
Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim berkata, UPM kini mempunyai kira-kira 400 pelajar antarabangsa sepenuh masa di peringkat prasiswazah, selain pelajar mobiliti yang mengikuti program selama dua minggu, satu semester atau sehingga setahun.
“Antara negara yang menyertai program mobiliti ialah Perancis, Jerman, Belanda, Itali, Nigeria, Sudan, Jepun, China, Taiwan dan Kazakhstan manakala Mongolia menyertai program berkenaan buat kali pertama,” katanya
Tambah beliau, tiga fakulti yang menjadi pilihan pelajar antarabangsa ialah School of Business and Economics (SBE), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

Selain itu, dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi, UPM turut melaksanakan inisiatif stackable degree atau ijazah bertindan sebagai sebahagian daripada pembaharuan pendidikan tinggi di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Negara 2026–2035.
Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim berkata, inisiatif rintis yang melibatkan lima universiti penyelidikan, iaitu Universiti Malaya (UM), UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), membolehkan pelajar mengumpul kredit melalui kursus di universiti yang mengambil bahagian sebelum melengkapkan pengajian di universiti yang menganugerahkan ijazah.
“Di UPM, program berkenaan ditawarkan pada peringkat sarjana di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dengan pelajar perlu melengkapkan keseluruhan 40 kredit termasuk projek bagi memenuhi syarat penganugerahan Master.
“Program yang mengambil masa kira-kira satu tahun setengah itu memulakan pengambilan pertama pada semester ini,” katanya.
Dalam pada itu, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim mengingatkan para pelajar agar sentiasa mengutamakan adab, kejujuran dalam menuntut ilmu dan menghayati tanggungjawab sebagai penuntut ilmu.
“Adab dahulu baru ilmu. Jujur pada ilmu dan sentiasa berpaksikan moto UPM, ‘Berilmu, Berbakti’,” katanya
Date of Input: 14/10/2026 | Updated: 14/10/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA