SERDANG, 28 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai pameran reruai Ekspo My Food 2025 yang berlangsung baru-baru ini di Kuala Lumpur Covention Centre (KLCC) yang telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak.
Datuk Seri Isham turut meluangkan masa melawat tapak pameran dan singgah ke reruai UPM yang disediakan oleh Putra Science Park, menampilkan UPM sebagai antara peneraju agenda Slow Food di rantau ini.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, tampil dalam sesi ‘Insight Session’ pada hari kedua ekspo, berkongsi komitmen UPM dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Dalam sesi itu, beliau melancarkan buku terbaru terbitan UPM bertajuk “Blueprint Keterjaminan Makanan” yang dirangka sebagai panduan strategik ke arah membangun bekalan makanan mampan dan selamat untuk negara.
Buku tersebut turut diserahkan secara rasmi kepada Pengarah Projek Ekspo, Alun Jones daripada Montgomery Asia.
Ekspo tiga hari yang berlangsung dari 24 hingga 26 April 2025 ini menghimpunkan pelbagai agensi dan pemain industri makanan seluruh negara, menampilkan produk serta teknologi makanan terkini.
Antara tarikan utama reruai UPM ialah demonstrasi masakan secara langsung oleh Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Prof. Dr. Shahrim Ab Karim.
Beliau memperkenalkan inovasi dalam pemprosesan makanan yang menekankan penggunaan bahan semula jadi, seiring dengan prinsip pemakanan sihat dan konsep “slow food”.
Demonstrasi yang memfokuskan kepada konsep pemakanan sihat menggunakan Teknik tersebut mengetengahkan penggunaan bahan semulajadi dalam penyediaan makanan harian.
Melalui pameran ini, pengunjung berpeluang melihat sendiri pelbagai hasil penyelidikan inovasi UPM, membuka laluan kepada kerjasama lebih erat antara universiti dan industri dalam membangunkan ekosistem makanan negara yang lebih lestari dan berdaya saing.
Date of Input: 28/04/2025 | Updated: 28/04/2025 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA