UPM Kaji Peranan Bahasa Dalam Membangun Kepercayaan Awam Terhadap Dasar Keterjaminan Makanan | Universiti Putra Malaysia 99 exweb00
» NEWS » UPM kaji peranan bahasa dalam membangun kepercayaan awam terhadap dasar keterjaminan makanan

UPM kaji peranan bahasa dalam membangun kepercayaan awam terhadap dasar keterjaminan makanan

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Saleha Haron dan Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

SERDANG, 18 Oktober – Isu keterjaminan makanan bukan sekadar melibatkan bekalan dan harga, tetapi turut berakar pada penggunaan bahasa yang mampu meyakinkan rakyat bahawa kerajaan serius melindungi kesejahteraan mereka.

 

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid, dalam pembentangan bertajuk “Persona Deiksis dalam Wacana Keterjaminan Makanan di Malaysia: Analisis Kenyataan Media Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan” berkata, bahasa berperanan sebagai instrumen penting dalam membina keyakinan awam, khususnya ketika berlakunya krisis.

 

“Pendekatan deiksis persona digunakan kerana ia menyingkap pihak yang bercakap serta pihak yang diwakili. Sebagai contoh, apabila menteri menggunakan kata ‘kita’, ia menunjukkan semangat kebersamaan antara kerajaan dan rakyat,” katanya dalam sesi  pembentangan di Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2025 di UPM, hari ini.

 

Beliau berkata, kenyataan akhbar menteri merupakan saluran rasmi yang paling cepat dan mudah diakses masyarakat, dan memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi rakyat terhadap kecekapan dasar kerajaan.

 

“Bahasa kenyataan rasmi biasanya menyeimbangkan antara ketegasan dan ajakan. Penggunaan kata seperti ‘berganding bahu’ dan ‘bersama-sama memastikan’ menonjolkan nilai tanggungjawab kolektif yang penting untuk membina solidariti,” katanya.

 

Tambah beliau, kajian tersebut menunjukkan bahawa pemilihan kata ganti nama seperti “saya”, “kami”, “kita” dan “mereka” bukan hanya bersifat linguistik, tetapi membawa maksud sosial serta ideologi tertentu.

 

“Pemilihan kata tersebut mencerminkan hubungan kuasa, empati dan tanggungjawab bersama dalam komunikasi dasar kerajaan,” katanya.

 

Selain itu Dr. Muhammad Faizul, berkata dapatan kajian turut mencadangkan agar bahasa dasar kerajaan lebih menekankan nada harapan dan empati bagi membangunkan kepercayaan serta semangat partisipatif rakyat.

 

“Bahasa yang terlalu teknikal cenderung mencipta jarak, manakala bahasa yang jelas dan berperikemanusiaan mampu mendekatkan mesej dengan masyarakat termasuk dalam konteks dasar awam, politik, korporat dan media,” katanya.

 

Dalam pada itu, kajian tersebut yang dijalankan di bawah FBMK, UPM menunjukkan penyelidikan linguistik berperanan melihat dasar bukan hanya sebagai dokumen pentadbiran, tetapi sebagai wacana sosial yang membentuk kepercayaan awam.

 

Melalui analisis wacana strategik, penyelidik UPM membantu pembuat dasar memahami cara komunikasi yang lebih berkesan, empatik dan berimpak tinggi terhadap rakyat.

Date of Input: 19/10/2025 | Updated: 19/10/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYKUCAf~