Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 8 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jiangsu Synthgene Biotechnology Co. Ltd., China bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan dan penghasilan vaksin haiwan.
Kerjasama ini mencerminkan sinergi kukuh dalam bidang sains veterinar, khususnya pembangunan vaksin haiwan yang menggabungkan kepakaran UPM dengan teknologi mRNA terkini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata kerjasama tersebut menandakan pencapaian penting dalam usaha UPM memacu sains veterinar dan bioteknologi ke peringkat global.
“Saya yakin kerjasama ini akan mempercepat penghasilan penyelesaian berimpak tinggi bagi kesihatan haiwan dan awam di seluruh dunia,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Nor Yasmin Abd Rahaman berkata pembangunan vaksin haiwan berasaskan mRNA ini berpotensi tinggi dalam meningkatkan kawalan penyakit, khususnya rabies.
“Antara fokus utama kami adalah pembangunan vaksin bagi mengurangkan kadar jangkitan penyakit rabies, yang berpunca daripada haiwan dan boleh membawa maut kepada manusia. Pencegahan merupakan langkah paling kritikal dalam mengawal penularan,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa vaksin ini mampu menjadi pelindung jangka panjang bagi komuniti haiwan dan manusia, seiring dengan matlamat Malaysia untuk mencapai status bebas rabies.
Selain memacu pembangunan vaksin haiwan yang lebih maju, kerjasama ini turut membuka peluang baharu dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan jaringan industri antarabangsa.
Date of Input: 08/08/2025 | Updated: 08/08/2025 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA