
SERDANG, 26 November – Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengorak langkah penting dalam memperkukuh hubungan industri apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MONIN Asia KL Sdn. Bhd., peneraju global dalam penghasilan sirap premium dan bahan perisa, bagi meningkatkan kepakaran pelajar dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Dekan FSTM, Prof. Dr. Anis Shobirin Meor Hussin, berkata kerjasama strategik itu bakal membuka peluang luas merangkumi penyelidikan bersama, pembangunan produk inovatif, program latihan industri dan pemindahan pengetahuan.
“Kerjasama ini dijangka memperkukuh kemampuan fakulti dalam mengintegrasikan amalan industri sebenar ke dalam kurikulum dan ekosistem penyelidikan FSTM. Ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah menyumbang kepada pembentukan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor makanan,” katanya.
Beliau berkata lagi, usaha ini turut menyokong aspirasi Program Bacelor Sains Perkhidmatan dan Pengurusan Makanan (BSPPMdk) yang memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman dan latihan sebenar industri.
“Jalinan bersama MONIN akan memperkayakan elemen praktikal, inovasi minuman serta profesionalisme pelajar dalam bidang hospitaliti dan perkhidmatan makanan, selaras dengan kehendak pasaran global yang semakin kompetitif,” ujarnya.
Majlis pemeteraian MoU disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dan Country Manager MONIN Malaysia, Daphne Wong Lee Soo, serta disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib.
Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program berimpak tinggi pada masa hadapan, termasuk pembangunan produk bersama, penyelidikan kolaboratif serta pengkomersialan hasil inovasi.
“Usaha ini sekali gus mengukuhkan kedudukan FSTM sebagai rakan industri global dalam memperkasa kecemerlangan akademik dan inovasi, sejajar dengan aspirasi UPM sebagai universiti penyelidikan bertaraf dunia,” katanya.
Date of Input: 26/11/2025 | Updated: 26/11/2025 | syamilakamarul

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA