Dua Pensyarah UPM Terima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2026 | Universiti Putra Malaysia 99 exweb00
» NEWS » Dua Pensyarah UPM Terima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2026

Dua Pensyarah UPM Terima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2026

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi dan Zarith Sofea Ibrahim

 

PUTRAJAYA, 23 November – Dua pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima pengiktirafan pada Malaysia Scopus Research Star Award 2026 sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam bidang penyelidikan.

 

 

Penerima anugerah tersebut ialah Prof. Dr. Foo Hooi Ling dari Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul yang menerima Anugerah Kecemerlangan Wanita dalam Penyelidikan bagi Kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan (STEM), manakala Prof. Ir. Dr. Wan Azlina Wan Abdul Karim Ghani dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan menerima Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan Kelestarian.

 

Anugerah itu telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

 

Kejayaan ini mencerminkan kecemerlangan kepakaran dan komitmen berterusan warga akademik UPM dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan, inovasi serta pembangunan masyarakat.

 

Prof. Ir. Dr. Wan Azlina merupakan ahli akademik yang juga Ketua Sustainable Process Engineering Research Centre (SPERC), UPM mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam penyelidikan teknologi lestari, khususnya dalam bidang penukaran sisa dan biojisim kepada tenaga, bahan serta produk bernilai tambah, selain teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta kejuruteraan proses lestari.

 

Pengiktirafan yang diterima beliau merupakan penghargaan terhadap sumbangan dan kepakaran dalam memperkasa penyelidikan kejuruteraan proses lestari, khususnya menerusi pendekatan Daripada Sisa kepada Nilai (Waste-to-Value) yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi bagi menukarkan sisa dan biojisim kepada sumber serta produk bernilai tambah.

 

Penyelidikan beliau turut merangkumi pembangunan bahan berasaskan karbon, tenaga lestari dan teknologi penangkapan serta penyimpanan karbon yang menyokong usaha mitigasi perubahan iklim, pelaksanaan ekonomi kitaran dan peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.

 

Sepanjang penglibatan dalam bidang penyelidikan, beliau telah memperoleh geran penyelidikan berjumlah lebih RM5.55 juta sebagai ketua dan penyelidik bersama. Usaha tersebut turut menghasilkan 11 harta intelek dan inovasi serta menyumbang kepada pelaksanaan 17 projek konsultansi bernilai RM0.85 juta memperkukuh hubungan antara kepakaran universiti dengan keperluan industri.

 

Kecemerlangan penyelidikan beliau turut dizahirkan melalui pencapaian lebih 7,000 sitasi dalam pangkalan data Scopus dengan H-index 38. Beliau juga telah menerima pengiktirafan sebagai Top Research Scientist Malaysia (TRSM) dan tersenarai dalam kelompok Top 2% Scientist Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2026.

 

 

Sementara itu, Prof. Dr. Foo Hooi Ling berkata, antara sumbangan utama yang membawa kepada pengiktirafan tersebut ialah usaha menerajui pembangunan Biotik Generasi Seterusnya (Next Generation Biotics) termasuk postbiotik dan sitobiotik daripada bakteria asid laktik probiotik tempatan bagi meningkatkan kesihatan manusia dan haiwan, keselamatan makanan serta kelestarian industri agrimakanan.

 

“Bagi saya kejayaan penyelidikan bukan sahaja diukur melalui penerbitan ilmiah tetapi juga penghasilan inovasi dan kerjasama industri bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan masyarakat. Pengiktirafan ini juga merupakan hasil sokongan UPM, rakan penyelidik, pelajar pascasiswazah, pihak industri dan agensi pembiayaan penyelidikan sepanjang perjalanan saya,” katanya.

 

Beliau juga berhasrat memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi dalam pembangunan probiotik generasi baharu, mikrobiom dan biopemprosesan bioteknologi lestari, selain memperluas kerjasama industri bagi menterjemahkan hasil penyelidikan kepada produk dan teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

 

“Saya berharap pengiktirafan ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita, khususnya generasi muda dan pelajar perempuan, untuk menceburi bidang STEM serta berani tampil sebagai peneraju dalam penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Date of Input: 23/11/2026 | Updated: 23/11/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLXSAp~