SERDANG, 10 Sept – Seramai 71 pelajar Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Program Pemuliharaan Sungai Kedah yang berlangsung di Taman Negeri Perlis, baru-baru ini.
Pengarah program, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata pemilihan sungai di kawasan tersebut dibuat kerana hutan merupakan sumber penting yang membekalkan air bersih melalui proses penapisan semula jadi.
“Tempat ini dipilih bagi memberi kefahaman kepada peserta mengenai hubungan rapat antara kewujudan hutan dan sungai. Pada masa yang sama, terdapat juga sungai kecil di Taman Negeri Perlis yang sesuai dijadikan contoh awal mengenai sumber air di Malaysia,” katanya.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kolej Dua Belas UPM.
Dr. Siti Suriawati berkata, penglibatan agensi-agensi berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran serta memberi pengetahuan kepada pelajar mengenai kepentingan sungai terhadap manusia, selain menekankan aspek penjagaannya untuk tujuan ekopelancongan.
Tambahnya, penganjuran program ini juga memberi pendedahan kepada peserta tentang aspek pemuliharaan sungai di Malaysia, khususnya di Perlis dan Kedah.
“Antara fokus utama adalah pemahaman terhadap kualiti air sungai yang dibekalkan kepada pengguna serta aktiviti penanaman pokok bagi membantu memulihara kelestarian sungai,” jelasnya.
Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Taman dan Rekreasi FPAS UPM, Muhammad Ekrima Daniel Junaidi, berkata program seperti ini amat penting untuk menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Program sebegini memberi pendedahan tentang kepentingan sungai terutama dalam sektor ekopelancongan. Diharapkan lebih banyak program seumpama ini dianjurkan agar orang ramai mengetahui kaedah penjagaan sungai. Peserta juga berpeluang menjalani aktiviti praktikal seperti menanam pokok di tebing sungai sebagai simulasi pemuliharaan,” katanya.
Date of Input: 10/09/2025 | Updated: 10/09/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA