UPM Anjur BioChallenge 8.0, Beri Pendedahan Inovasi Dalam Bidang Biologi | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM anjur BioChallenge 8.0, beri pendedahan inovasi dalam bidang Biologi

UPM anjur BioChallenge 8.0, beri pendedahan inovasi dalam bidang Biologi

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

 

 

 

SERDANG, 30 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Jabatan Biologi, Fakulti Sains telah mengadakan program Bio Challenge 8.0 2025 bagi menarik minat mereka terhadap bidang Biologi dengan pendekatan interaktif, baru-baru ini. 

 

Program yang bertemakan ‘Innovations in Biology: From Bench to Real World Application’ diadakan secara fizikal dan dalam talian bertujuan untuk memupuk kerjasama dalam kumpulan, mencungkil bakat serta kemahiran keusahawanan pelajar.

 

Ketua program, Farrah Nazierah Abdul Shah berkata, matlamat program ini ialah meningkatkan kualiti dan kreativiti dalam inovasi produk serta menggalakkan interaksi dua hala antara peserta.

 

“Program ini dapat menambahkan ilmu dan pengalaman baharu serta memupuk para peserta dalam mengendalikan sesuatu program serta memberi peluang pelajar untuk teroka bidang penyelidikan dan menggalakkan mereka menyelesaikan masalah pembelajaran dengan ilmu Biologi,” katanya.

 

 

 

 

 

Pelajar Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM, Emaan Mirza, 21, berkata, program ini mengajar beliau menggabungkan kreativiti dengan Biologi serta berfikiran luar kotak supaya menjadi seorang yang berilmu.

 

“Kami pelajari tentang keunikan alam semula jadi dan kehidupan di sekeliling kita dan program ini bantu dalam membentuk pemikiran kami secara inovatif dan  memperoleh ilmu baharu dengan menggunakan sumber yang ada dalam mencipta produk serta cara membentangkan produk bagi mengenal strategi pemasaran dan perniagaan,” katanya.

 

Pelajar antarabangsa dari University of Toronto, Canada, Nurul Ereyen Sazawani Jurni, 21 berkata program ini merupakan satu pengalaman yang menarik walaupun beliau ikuti secara dalam talian. 

 

“Saya tertarik dengan salah satu aktiviti iaitu BioFoto dan saya dapati pelbagai konsep yang boleh dikaitkan dengan gambar kerana usaha merakam gambar alam semula jadi bukanlah mudah serta mengajar diri ini untuk menjadi lebih sabar,” katanya. .

 

Dalam pada itu, seramai 150 orang peserta yang terlibat dalam program ini bagi mengasah bakat mereka serta meningkatkan kefahaman ilmu bidang Biologi melalui pelbagai kaedah serta membantu meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa UPM.



Tarikh Input: 30/04/2025 | Kemaskini: 30/04/2025 | aghniya

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYFBBAY~