Festival Idea Putrajaya Buka Perspektif Mahasiswa Terhadap Inovasi | Universiti Putra Malaysia 99 exweb00
» BERITA » Festival Idea Putrajaya Buka Perspektif Mahasiswa Terhadap Inovasi

Festival Idea Putrajaya Buka Perspektif Mahasiswa Terhadap Inovasi

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Azreen Awang

 

PUTRAJAYA, 18 Nov - Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 menjadi platform pendedahan kepada mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meneroka perkembangan teknologi, penyelidikan dan inovasi yang berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang pengajian.

 

Menerusi festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), mahasiswa berpeluang melihat sendiri pelbagai hasil inovasi serta teknologi yang diketengahkan oleh institusi pendidikan tinggi.

 

Pelajar Tahun Dua Bacelor Pengurusan Alam Sekitar dengan Kepujian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), UPM, Safiyta Mohd Zulkifly, berkata antara inovasi yang menarik perhatiannya ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) bersama Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi memantau kawasan hutan.

 

“Sebagai pelajar Pengurusan Alam Sekitar penggunaan AI dalam GIS merupakan satu pengetahuan baharu yang menarik kerana saya mempelajari GIS dan tidak terfikir teknologi itu boleh dipertingkatkan lagi dengan penggunaan AI untuk tujuan pemantauan kawasan,” katanya.

 

Rakannya, Nadiatul Wahida Muhairi, berkata Putrajaya FOI 2026 itu memberinya peluang mempelajari pelbagai perkara baharu dalam bidang perubatan dan teknologi.

 

“Antara yang menarik perhatian saya ialah demonstrasi CPR untuk bayi dan orang dewasa. Saya turut tertarik dengan teknologi yang dipamerkan oleh pelajar politeknik iaitu kereta yang dihasilkan sendiri serta perkongsian pengalaman mereka menyertai pertandingan di Kanada,” katanya.

 

Presiden Majlis Perwakilan Kolej Pendeta Za’ba, UPM, Mohamad Nejab Barrayef Mohamad Firdos yang juga merupakan pelajar Tahun Tiga Bacelor Pendidikan dalam Pendidikan Jasmani dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, berkata Putrajaya FOI 2026 adalah platform yang baik untuk mahasiswa mendapatkan pendedahan secara langsung terhadap perkembangan teknologi dan inovasi.

 

Beliau berkata, peluang melihat sendiri demonstrasi teknologi serta mencuba pelbagai inovasi yang dipamerkan dapat membuka idea dan perspektif baharu dalam kalangan mahasiswa.

 

“Putrajaya FOI 2026 ini baik kerana memberi pendedahan kepada mahasiswa yang mungkin kurang mengetahui tentang reka bentuk dan teknologi. Melalui pendedahan secara langsung saya dapat mempelajari sendiri bagaimana sesuatu teknologi itu berfungsi,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, pelajar Tahun Dua, Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Mastura Ayuni Husin, berkata perkembangan teknologi yang dipamerkan memberi gambaran tentang potensi inovasi tempatan dalam menyokong keperluan masyarakat pada masa hadapan.

 

“Sebagai mahasiswa dalam bidang pendidikan harapan saya teknologi seperti AI dapat dimanfaatkan bagi memudahkan tugas guru serta meningkatkan pengalaman pembelajaran di dalam bilik darjah.

 

 

“Saya berharap pada masa hadapan akan ada lebih banyak teknologi yang dapat membantu guru termasuk penggunaan AI dalam bilik darjah seperti papan putih pintar yang boleh memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Tarikh Input: 18/11/2026 | Kemaskini: 18/11/2026 | zarithsofea

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZLTAAT~