Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 13 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) dengan kerjasama Persatuan Pentadbir UPM (PPUPM) dan Mamee Double Decker telah menjalankan tanggungjawab sosial korporat bubur lambuk bagi menyemarakkan semangat Ramadan sesama masyarakat, semalam.
Program ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga UPM dengan masyarakat setempat dan memberi peluang kepada mereka dalam aktiviti kebajikan serta berkongsi rezeki di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Ketua Program, Dr. Rohaizat Abdul Wahab berkata, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim bersama melalui aktiviti kemasyarakatan tetapi juga menggalakkan semangat gotong-royong.
“Program ini fokus dalam berkongsi rezeki dengan masyarakat yang memerlukan kerana ia merupakan salah satu cara untuk kita menyemai nilai kemanusiaan terhadap sesama insan.
“Selain itu, program ini juga memberi manfaat kepada pelajar yang terlibat bagi memperluaskan kemahiran asas mereka dalam bidang pengurusan makanan serta memberi peluang kepada mereka untuk bekerjasama dengan industri,” katanya.
Pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian, Fong Hui Xian, 20, berkata, pengalaman saya dalam menguruskan penyediaan bubur lambuk ini merupakan pengalaman baharu saya.
“Sebagai seorang kaum Cina, ini adalah pertama kali saya menyediakan bubur lambuk yang merupakan makanan tradisi masyarakat Melayu ketika berpuasa.
“Saya berasa gembira kerana dapat merasakan pengalaman yang penuh bermakna ini serta diberi peluang untuk mempelajari penyediaan menu tersebut kerana perbezaan budaya makanan,” ujarnya.
Presiden PPUPM, Fahmi Azar Mistar menyatakan bahawa kerjasama ini sangat bermakna kerana melakukan amal jariah dengan membawa konsep bersedekah kepada mereka yang berpuasa.
“Penglibatan PPUPM ini ingin mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini serta merapatkan jaringan dengan industri terlibat untuk kolaborasi di masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, program ini merupakan pertama kali diadakan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) dengan menyediakan dua jenis bubur iaitu bubur lambuk daging dan ayam.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Prof. Dr. Anis Shobirin Meor Hussin.
Date of Input: 13/03/2025 | Updated: 13/03/2025 | aghniya
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA