UPM Pupuk Peranan Pereka Dalam Isu Keterjaminan Makanan Melalui Road To SEED 2025 | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM Pupuk Peranan Pereka dalam Isu Keterjaminan Makanan melalui Road to SEED 2025

UPM Pupuk Peranan Pereka dalam Isu Keterjaminan Makanan melalui Road to SEED 2025

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 
 
SERDANG, 3 Februari – Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Road to SEED 2025: Industrial Dialogue and Design Seminar bagi mempromosikan inovasi industri reka bentuk dalam menyokong keterjaminan makanan.
 
 
Program ini membuka ruang kepada pelajar tahun akhir FRSB UPM untuk lebih memahami peranan reka bentuk serta menghasilkan inovasi reka bentuk dalam memperkasakan agenda keterjaminan makanan yang mampan dan inovatif.
 
 
Dekan FRSB UPM, Prof. Ts. Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof, menekankan bahawa pelajar fakulti ini tidak memandang isu keterjaminan makanan sekadar wacana akademik, tetapi satu kebimbangan bersama yang memerlukan penyelesaian yang lebih lestari.
 
 
"Sebagai pereka industri, kami memainkan peranan penting dalam mencipta penyelesaian inovatif, sama ada dalam sistem pengeluaran makanan, pembungkusan, pemeliharaan, mahupun pengedaran yang lebih cekap. Reka bentuk dapat membantu memastikan makanan yang selamat, berkhasiat dan mampu milik dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat," katanya.
 
 
Selain sesi dialog dan seminar, program ini menjadi wadah bagi para pelajar tahun akhir FRSB UPM untuk bertukar idea, meneroka trend baharu, serta membincangkan cabaran dan peluang dalam bidang keselamatan makanan.
 
 
"Para pelajar tahun akhir turut berpeluang mendengar pandangan pakar dari pelbagai bidang yang berkongsi pengalaman dan idea tentang bagaimana reka bentuk industri dapat memberi impak dalam sektor makanan, termasuk melalui teknologi pertanian pintar dan pembungkusan lestari," tambahnya.
 
 
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPM, Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz merasmikan program ini berkata program ini menjadi platform yang bernilai untuk mempamerkan penyelidikan dan inovasi pelajar UPM kepada masyarakat dan industri yang lebih luas.
 
 
‘’Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan keterlihatan pelajar dalam bidang reka bentuk dalam isu keterjaminan makanan serta membuka peluang kepada fakulti dan universiti untuk membina rangkaian dan kerjasama dengan pihak industri, komuniti, dan agensi,’’ ujarnya.
 
 
Turut hadir Pengarah Pengurusan GK Aqua Sdn. Bhd., Giva A/L Kuppusamy, dan Senior QA Eksekutif Hernan Corporation Sdn. Bhd, Nurfarhana Akbar Ali.

Date of Input: 03/02/2025 | Updated: 03/02/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCELAO~