UPM Perkukuh Peranan Dalam Komuniti Melalui Program HTKSJ | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM perkukuh peranan dalam komuniti melalui Program HTKSJ

UPM perkukuh peranan dalam komuniti melalui Program HTKSJ

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 9 Feb – Universiti Putra Malaysia (UPM) berbakti kepada komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif dalam Program Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya (HTKSJ) anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) semalam.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata penglibatan universiti dalam program ini sejajar dengan hasrat universiti untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

 

“UPM turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat, kita mahu komuniti merasai keberadaan universiti, katanya.

 

Tambah beliau, antara perkhidmatan yang boleh dinikmati oleh komuniti di program itu antaranya pameran kesihatan, khidmat nasihat pertanian sertap rogram menceriakan kawasan sekitar.

 

“Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), UPM telah memainkan peranan aktif dalam program ini melalui kerja-kerja menceriakan kawasan Taman Tasik Sri Serdang dengan lukisan mural bertemakan flora, fauna, dan gaya hidup sihat,” katanya.

 

Dekan FRSB, UPM, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof berkata Jabatan Senibina dan MBSJ merancang untuk melaksanakan projek ini.

"Bermula dengan penyediaan lakaran, proses pembersihan tapak, sehinggalah ke kerja melukis yang dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga hari,” katanya.

 

Seramai 35 pelajar Jabatan Senibina, FRSB, UPM bersama 10 staf terlibat dalam projek ini bagi merealisasikan hasil seni mural tersebut.

 

Pelajar Bacelor Sains Senibina Dengan Kepujian, Manuel Govin Gopan, 23, berkata beliau teruja dapat terlibat dalam projek ini yang merupakan pengalaman yang amat bermakna.

 

“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam kolaborasi sebegini dan gembira melihat hasil lakaran kami ada di Serdang untuk tatapan ramai,” katanya.

 

Selain inisiatif seni, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM, turut mengambil bahagian dalam program ini dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan serta khidmat nasihat pertanian kepada komuniti.

 

Dalam pada itu, Taman Tasik Sri Serdang dipilih sebagai lokasi utama bagi penganjuran Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya, Edisi Februari 2025. Kawasan tersebut merupakan antara pembangunan perumahan terawal dalam kawasan MBSJ serta pernah diiktiraf sebagai Bandar Biomas pertama di Selangor.

Date of Input: 09/02/2025 | Updated: 09/02/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCKIA4~