UPM Naib Johan Pertandingan Innovathon Cipta Dron Daripada Daun Nenas | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM naib johan pertandingan Innovathon cipta dron daripada daun nenas

UPM naib johan pertandingan Innovathon cipta dron daripada daun nenas

SERDANG, 19 Sep- Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya mendapat naib johan bagi pertandingan Innovathon siaran Astro Ria dengan mencipta inovasi Dron Putra UAV 2.0 yang diperbuat daripada fiber daun nenas.

 
Dron Putra UAV 2.0 telah dihasilkan daripada fiber daun nenas yang mesra alam sekiranya terhempas di kawasan laut atau hutan kerana ia akan terlupus sendiri secara semula jadi dalam masa dua minggu.

Ahli projek Dron Putra UAV 2.0, pelajar PhD, Navaneetha Krishna Chandran, 23 berkata dron yang diberi nama Putra Unmanned Aerial Vehicle atau Putra UAV itu adalah inovasi pertama seumpamanya menggunakan gentian bahan semulajadi atau biokomposit daripada daun nanas.



Ia berkeupayaan terbang sehingga kira-kira 30 meter dan boleh berada di udara selama kira-kira 20 minit.

"Dengan ciri istimewa mempunyai daya rintangan elektrik, ia boleh mengelak berlakunya litar pintas dan ianya mempunyai nisbah kekuatan yang tinggi berdasarkan berat berbanding dron daripada gentian sintetik, serta lebih murah, ringan, manakala bahan semulajadinya mudah diperoleh, dan konduktiviti elektrik yang rendah.

“Justeru, biokomposit berpotensi besar menggantikan bahan sedia ada dengan beberapa kelebihan seperti ringan dan mesra alam kerana faktor biodegradasi yang mudah terurai dan dilupus dalam tanah.

Baliau berkata inovasi ini juga dapat meningkatkan ekonomi peladang nenas seterusnya menggalakkan pertanian negara," katanya.

Ahli kumpulan projek yang menyertai pertandingan ini terdiri daripada ketua projek, Prof Ir Ts Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan, Dr. Adi Azriff Basri, Navaneetha Krishna Chandran, Previndran Guinda Rajoo, Yavinaash Naidu Saravanakumar serta Muhammad Izham Mohd Mokhtar.

Mereka telah dinobatkan sebagai johan pada minggu ke tujuh dan berjaya melayakkan diri ke peringkat final. Pada peringkat final mereka semua berjaya mendapat naib johan dan membawa pulang hadiah bernilai RM80,000 serta mendapat perhatian daripada negara Sepanyol dan Ukraine untuk menjalinkan kerjasama.

Sementara itu, pelajar master sains aeroangkasa, Yavinaash Naidu Saravanakumar, 23, berkata, beliau sangat berbangga kerana dapat mewakili UPM dan juga fakulti kejuruteraan untuk mempamerkan Dron Putra UAV 2.0 yang mempunyai nilai komersial dan nilai kemampanan alam sekitar yang tinggi dan ia perlu dipromosikan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia.

"Kemenangan ini adalah inovasi pertama di dunia. Walaupun ianya mengambil masa panjang untuk dedahkan inovasi ini, dan pertandingan Innovathon siaran Astro Ria adalah sebuah peluang kepada kami untuk mengubah halatuju aeroangkasa di Malaysia," katanya.

INNOVATHON merupakan sebuah rancangan realiti televisyen pertama di Malaysia hasil inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astro.

Date of Input: 04/07/2024 | Updated: 04/07/2024 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXKEGAy~