UPM Dominasi Anugerah MRSA 2025 | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM dominasi Anugerah MRSA 2025

UPM dominasi Anugerah MRSA 2025

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

 PUTRAJAYA, 13 Feb – Enam penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mengungguli beberapa kategori utama pada Malaysia’s Research Star Award (MRSA 2025) dan Anugerah Jurnal CREME (Current Research Malaysia) yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

 

Anugerah ini diberikan kepada penyelidik dan jurnal penyelidikan tempatan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka menghasilkan penerbitan berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Antara anugerah yang diterima bagi kategori Frontier Researcher diberikan kepada Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit@ Sinon dari Fakulti Kejuruteraan. Bagi kategori Outstanding Research in Phytochemicals diterima oleh Prof. Dr. Amin Ismail dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

 

Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan berkata, penerima anugerah itu dipilih berdasarkan pencapaian beliau bagi penerbitan makalah jurnal yang diindeks dalam pangkalan data Web of Sciences, Clarivate, Amerika Syarikat.

 

“Hasrat saya seterusnya adalah untuk terus menulis dan menerbitkan makalah jurnal yang diindeks dalam pangkalan data Web of Sciences dalam kategori SCIE quartile Q1 supaya memberi manfaat kepada penyelidik lain,” katanya.

 

Prof. Dr. Amin berkata, kepentingan penerbitan jurnal berimpak tinggi dalam dunia akademik bukan sahaja bagi perkembangan ilmu pengetahuan malah untuk meningkatkan reputasi penyelidik dan institusi.

 

“Ini untuk memastikan hasil penyelidikan diiktiraf di peringkat global, memperluaskan kolaborasi akademik serta memberi impak yang lebih besar terhadap dasar dan amalan dalam bidang berkaitan,” katanya.

 

Sementara itu, anugerah kategori Researcher Cluster diterima oleh Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen dari Fakulti Sains dan Prof. Dr. Loh Teck Chwen dari Fakulti Pertanian.

 

Bagi Anugerah Jurnal CRÈME diterima oleh Prof. Dr. Tan Chin Ping dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan melalui kajian beliau yang diterbitkan dalam International Food Research Journal.

 

Dalam majlis yang sama, turut diadakan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Universiti Awam Malaysia.

 

Perlaksanaan inisiatif ini adalah bertujuan untuk mewujudkan ekosistem perkongsian sumber ilmiah dalam kalangan penyelidik, pelajar dan masyarakat serta meningkatkan keterlihatan negara sebagai pusat ilmu bertaraf antarabangsa.

 

 

Date of Input: 14/02/2025 | Updated: 14/02/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCPEAY~