Serdang, 3 Februari 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) bangunkan Wakaf Interactive Resource Arena (WIRA) bilik kuliah pintar dengan kemudahan moden yang berintegrasi dengan teknologi ke arah mewujudkan pengalaman pembelajaran yang berimpak tinggi buat mahasiswa.
Transformasi akademik itu adalah inisiatif dibawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) melibatkan bilik kuliah di Dewan Kompleks Akademik Pusat (DKAP) telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Dalam ucapannya, beliau menghargai sumbangan dan peranan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan bilik kuliah ini yang diselaraskan oleh Pejabat Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa, YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM.
Usaha merealisasikan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada pelan tindakan menaik taraf DKAP menjadi Arena Akademik dan Konvensyen Putra (PACA) yang sejajar dengan strategi pembangunan lestari UPM untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.
“Transformasi ini adalah langkah awal ke arah mewujudkan pengalaman pembelajaran yang berimpak tinggi buat mahasiswa UPM, seiring dengan aspirasi universiti untuk menyediakan kemudahan moden yang berintegrasi dengan teknologi,” ujar beliau.
Sementara itu, WAZAN telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM150,000 di bawah Dana Wakaf Ilmu dalam majlis yang dihadiri oleh Dekan-dekan fakulti serta pegawai kanan UPM. Dengan pelancaran WIRA, UPM terus komited dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pelajar mendapat pengalaman pendidikan yang terbaik.
Date of Input: 04/02/2025 | Updated: 04/02/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA