Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Najman Saleh
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Aquaria KLCC memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyatakan komitmen dalam bidang penyelidikan dan pendidikan marin, sekali gus memperlihatkan usaha bersama memelihara kelestarian biodiversiti akuatik negara.
Majlis pertukaran MoU tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kerjasama ini memberi ruang kepada penglibatan aktif akademik dalam pemuliharaan serta pembangunan penyelidikan dan pendidikan bersama industri.
“Ini adalah platform penting untuk memperkukuhkan kelestarian akuatik negara melalui penyelidikan, kesedaran awam serta inisiatif pendidikan yang inklusif dan berimpak tinggi,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Pelan Strategik UPM 2021–2025 yang memberi tumpuan kepada pembangunan hab penyelidikan dan inovasi berteraskan ekosistem lestari serta memperkukuh jaringan industri dan masyarakat.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan sumbangan universiti dalam bidang penyelidikan, malah mengukuhkan reputasi UPM sebagai peneraju dalam bidang marin untuk memastikan kelestarian warisan akuatik negara,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Prof. Dr.Ahmad Zaharin Aris berkata, kolaborasi inimencerminkan visi bersama dalam merapatkan penemuan saintifik dengan penglibatan awam secaralebih meluas.
“Kita melihat banyak peluang penyelidikan bolehdigerakkan bersama. MoU ini juga akan diperluas kepada pelbagai hasil penyelidikan laut dan usahapemuliharaan. Antara projek terbaharu ialahpemuliharaan ekosistem bakau bersama komunitiOrang Asli Mah Meri di Klang,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama ini turut membuka peluangkepada pelajar untuk melibatkan diri dalam program pendidikan yang selari dengan kurikulum universiti, selain memberipendedahan praktikal dalam bidang sains marin.
“Kolaborasi ini juga akan menyokong pelaksanaan projek pemuliharaan dan inisiatif berskala tempatanserta global bagi menangani isu pencemaran laut, kerosakan habitat dan pemuliharaan spesies terancam,” katanya.
Dalam pada itu, UPM dan Aquaria KLCC telah memperkenalkan pameran pendidikan interaktif Metamorphosis Galaxy yang memberi pemahaman tentang transformasiperingkat kehidupan spesies akuatik.
UPM turut menyumbangkan tiga ekor ikan kerapu untuk pameran awam bagi menggambarkan kepentinganekologi spesies ini dalam ekosistem marin
Date of Input: 26/03/2025 | Updated: 26/03/2025 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA