SERDANG, 24 Mac –100 peserta menyertai Program Sejam Bersama Alumni (SEBA) 2.0, anjuran Persatuan Alumni UPM, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), dan Pusat Perhubungan Alumni UPM sempena Majlis Iftar Alumni UPM, yang bertujuan memperkukuh jaringan alumni universiti.
Pengerusi Program, Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Mohamad, berkata, program SEBA memberi nilai tambah kepada pelajar dengan pendedahan dunia sebenar melalui pengalaman alumni yang telah berjaya dalam pelbagai bidang.
“SEBA bukan sekadar mengeratkan hubungan alumni dengan universiti, tetapi juga menjadi platform untuk berkongsi ilmu, pengalaman, serta membuka peluang kerjasama yang bermanfaat kepada pelajar dan institusi,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan program ini dalam memperkukuh hubungan alumni dengan universiti serta memastikan keterlibatan mereka terus berterusan.
“Majlis seperti ini wajar diteruskan sebagai platform untuk mengukuhkan ikatan alumni dengan alma mater, selain menyemai semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap UPM,” katanya lagi.
Sementara itu, Alumni kelas 2004 yang kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Mohd Safzan Mohd Mukhtar, berkata perkongsian pengalaman ini amat penting kerana beliau sendiri telah melalui apa yang dilalui oleh pelajar sekarang, membolehkan beliau memberikan panduan yang lebih relevan dan bermanfaat.
"Pengalaman saya di UPM bukan sekadar dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui aktiviti seperti sukan, kepimpinan, dan kesukarelawanan yang membentuk kemahiran insaniah saya. Program seperti SEBA amat bermakna kerana ia memberi ruang kepada alumni berkongsi perjalanan mereka dan menggalakkan pelajar meneroka bidang yang boleh memberi sumbangan besar," katanya.
Sebagai tanda penghargaan, penyampaian cenderahati kepada penceramah telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad. Turut hadir, Timbalan Dekan (Pembangunan dan Jaringan) FSTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Nur Hanani binti Zainal Abedin dan Presiden Persatuan Alumni UPM, YBhg. Dato' Raihan Sharif dan Yang Amat Mulia Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Putra Jamalullail.
Program SEBA, anjuran Pusat Perhubungan Alumni UPM, diadakan setiap tahun dengan kerjasama fakulti-fakulti UPM mengikut giliran. SEBA terus menjadi platform perkongsian pengalaman, inspirasi, dan pembangunan jaringan alumni-pelajar.
Date of Input: 25/03/2025 | Updated: 25/03/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA