PETALING JAYA, 23 Februari – Program Santuni Madani yang dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkasa komuniti Kampung Tunku.
Inisiatif itu sejajar dengan saranan kerajaan yang menggalakkan semua pemimpin untuk menyumbang kembali di tanah kelahiran masing-masing.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata UPM telah memfokuskan tiga elemen utama dalam program ini iaitu dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan pertanian yang melibatkan kepakaran daripada Pusat Tanggungjawab(PTJ) UPM.
“Program Agroteen Santuni MADANI telah dilaksanakan oleh UCTC melalui aktiviti pemindahan ilmu dan kemahiran dalam bidang pertanian, khususnya dalam penyediaan hiasan terrarium dan pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai untuk kanak-kanak di Kampung Tunku.
“Program ini berjaya menanam elemen inovasi, kreativiti turut memberi kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar kepada generasi muda.
“UPM mempunyai kepakaran yang meluas dalam pelbagai bidang. Saya berharap komuniti dapat memanfaatkan kepakaran UPM dalam bidang pertanian, pendidikan, kesihatan manusia, kesihatan haiwan, alam sekitar, belia, halal dan banyak lagi, untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, pada tahun 2024, UPM telah melaksanakan projek pertanian bandar bersama kanak-kanak autisme di Masjid Kampung Tunku di bawah inisiatif geran pemindahan ilmu KTGS@PTJ Fakulti Pertanian.
Projek itu membantu meningkatkan kemahiran dan perkembangan deria sensori kanak-kanak autisme melalui latihan terhadap penggunaan pergerakan halus dan kasar.
Nazir Masjid Kampung Tunku, Wan Huzaini Wan Hussin berkata program ini memberi pendedahan yang berharga kepada semua penduduk tanpa mengira usia mengenai peranan penting institusi pengajian tinggi dalam memperkasakan masyarakat melalui perkongsian ilmu dan aktiviti bermanfaat.
“Masjid adalah pusat sehenti kepada masyarakat untuk berkumpul, dan program seperti ini mengukuhkan lagi peranan universiti dalam memajukan komuniti,” ujarnya.
Date of Input: 24/02/2025 | Updated: 25/02/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA