Pelajar UPM Anjur JEWARIS 2023 Pupuk Semangat Kebersamaan Warisan Budaya | Universiti Putra Malaysia
BYEMBAX~
» NEWS » Pelajar UPM anjur JEWARIS 2023 pupuk semangat kebersamaan warisan budaya

Pelajar UPM anjur JEWARIS 2023 pupuk semangat kebersamaan warisan budaya

Oleh: Anis Nursyahindah Ahmad

TERENGGANU – Pelajar Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) sesi 2022/2023, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Angkatan Anak Seni Universiti Malaysia Terengganu (AKASIA UMT) baru-baru ini telah menganjurkan program Jelajah Seni Warisan (JEWARIS) 2023 bagi memupuk semangat kebersamaan warisan budaya.

Seramai 104 pelajar UPM dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) khususnya pelajar KMB dan AKASIA UMT telah terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

Pengetua Kolej KMB, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni berkata, program itu bagi pelajar untuk mempelajari kepelbagaian seni dan membuka peluang pelajar untuk mendapat pendedahan dengan lebih mendalam lagi mengenai warisan negara.

“Melalui program ini warisan budaya khususnya sejarah dan budaya rakyat Malaysia dapat terus dikekalkan di samping menyemai semangat kesenian dan kebudayaan dalam kalangan pelajar UPM,” katanya.

Peserta program, Muhammad Fareez Izhar berkata beliau berharap program sebegini diperbanyakkan lagi untuk dijadikan platform terbaik generasi muda  menghargai dan menghayati sejarah budaya rakyat Malaysia serta menghidupkan tradisi masyarakat majmuk.

“Saya tertarik dengan pengisian program ini kerana ia sangat memberi kesan kepada saya untuk menghayati serta meneruskan warisan budaya rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, program tersebut dimulakan dengan Slot Silang Budaya UPM X UMT di mana terdapat perkongsian pengurusan pelaksanaan aktiviti kebudayaan, pemantapan organisasi dan etika kerja bagi kedua-dua kelab kebudayaan iaitu Kelab Arustika Putrasakti di bawah Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Majlis Perwakilan KMB UPM dan AKASIA UMT serta pertandingan persembahan kebudayaan antara kedua buah universiti tersebut.

Pelajar turut berpeluang mengadakan lawatan di Kampung Budaya Terengganu dan Muzium Negeri Terengganu dan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu.

Kemudiannya, bengkel dan aktiviti mencanting batik yang disampaikan oleh Penyelia Bahagian Demokrasi Batik, Noor Arfa Batik Sdn. Bhd., Oslan Suriadi Muda diadakan di UMT di mana pelajar mempelajari sejarah, jenis batik serta mengaplikasikan teknik mencanting dan mewarnai batik. – UPM

Date of Input: 27/06/2023 | Updated: 27/06/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---