Malam Tunas Budaya UPM Semarak Seni Budaya, Pupuk Perpaduan Pelajar | Universiti Putra Malaysia 99 exweb00
» NEWS » Malam Tunas Budaya UPM semarak seni budaya, pupuk perpaduan pelajar

Malam Tunas Budaya UPM semarak seni budaya, pupuk perpaduan pelajar

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 12 Oktober – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menganjurkan Malam Tunas Budaya sempena Minggu Perkasa Putra bagi menyemarakkan seni budaya serta memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar baharu.

 

Program bertemakan Satu Rentak Seribu Warna yang berlangsung di Dewan Besar UPM itu menjadi platform untuk mencungkil dan meraikan bakat seni budaya pelajar baharu menerusi pertandingan persembahan kebudayaan yang melibatkan sembilan kontinjen kolej kediaman.

 

Pengarah Program, Nik Mohamad Ridhwan Nik Nasrudin berkata, program tahunan itu turut memberi peluang kepada pelajar mengenali dan menghayati kepelbagaian warisan budaya masyarakat di Malaysia.

 

Menurut beliau, persembahan tahun ini mengetengahkan kepelbagaian budaya menerusi nyanyian, tarian dan busana yang mewakili pelbagai kaum serta etnik, termasuk penggunaan dialek tempatan.

 

“Nyanyian, tarian dan busana yang dipersembahkan tahun ini menampilkan warisan pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia. Warisan ini tidak terhad kepada budaya Melayu, Cina dan India sahaja, malah merangkumi pelbagai etnik lain serta dialek tempatan bagi mengangkat kebersamaan dan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

 

Selain pertandingan utama, program itu turut menampilkan persembahan pembukaan dan selingan oleh kelab kebudayaan universiti, antaranya Kelab Seni Tari Adimastuli, Badansa Dance Troupe, Persatuan Seni Budaya Zhong Hua, Kelab Seni Tari Kalakshetra, Senada Putra dan Kelab Dikir Barat Kijang Mas.

 

 

 

Sementara itu, wakil kontinjen Kolej Tan Sri Aishah Ghani yang muncul johan Malam Tunas Budaya 2026, Muhammad Adam Fitri Azizan, berkata kemenangan itu merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh pasukan sepanjang tempoh persiapan.

 

Menurut pelajar Tahun Kedua Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dengan Kepujian itu, cabaran utama yang dihadapi ialah menyatukan idea, mengurus masa serta menggabungkan pelbagai elemen persembahan, termasuk jalan cerita, bahasa dan budaya.

 

“Saya percaya kekuatan persembahan kami terletak pada keunikan konsep dan kesatuan setiap elemen yang diketengahkan. Kami mengangkat kepelbagaian bahasa, budaya, muzik dan tarian sebagai lambang keharmonian masyarakat Malaysia,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pelajar Tahun Satu Bacelor Ekonomi dengan Kepujian, Dayang Nurul Marfikah dari Kolej 14, berkata penyertaannya dalam Malam Tunas Budaya merupakan peluang untuk menyumbang kepada kolejnya meskipun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan dan tarian sebelum ini.

 

 

“Saya sangat bersyukur kerana mendapat bimbingan daripada jurulatih dan sokongan rakan-rakan sepanjang latihan. Pengalaman ini mengajar saya tentang pentingnya semangat setiakawan apabila kami saling membantu, terutamanya apabila ada rakan yang menghadapi kesukaran menguasai gerakan persembahan,” katanya.

 

Pertandingan Malam Tunas Budaya 2026 menyaksikan Kolej Tan Sri Aishah Ghani muncul johan, diikuti Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sebagai naib johan, manakala Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) memperoleh tempat ketiga.

 

Program itu diharap dapat terus menyemai minat terhadap seni budaya dalam kalangan pelajar serta melahirkan generasi yang menghargai kepelbagaian warisan budaya negara.

Date of Input: 16/10/2026 | Updated: 16/10/2026 | zarithsofea

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZKQUAa~