BINTULU, 25 Mac – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) berjaya mengurangkan lebih 500 kilogram sisa makanan di Bazaar Ramadan BDA, Esplanade Bintulu menerusi inisiatif 'Towards Zero Food Waste in Bintulu'.
Program yang dibiayai oleh BDA ini dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan dengan penyertaan 34 pengendali gerai makanan dan mengaplikasikan dua kaedah utama: pengagihan lebihan makanan kepada golongan memerlukan serta kitar semula sisa makanan bagi mengelakkan lambakan di tapak pelupusan.
Pengurus Besar BDA, Datu Haji Muhamad Yakup Kari berkata, usaha ini selaras dengan komitmen BDA dalam memelihara alam sekitar dan menjadi model sifar sisa makanan yang boleh diteladani oleh komuniti lain.
“Kami mahu membuktikan bahawa konsep sifar sisa makanan boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak. Jika diteruskan, ini boleh menjadi contoh terbaik bukan sahaja di Bintulu, tetapi juga di seluruh Malaysia,” katanya.
Ketua Projek yang juga Ketua Borneo Biodiversity Laboratory di Institut Ekosains Borneo (IEB) UPMKB, Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata, teknologi kotak kompos yang digunakan dalam program ini dibangunkan dengan kerjasama pakar dari Jepun agar sesuai dengan iklim Malaysia.
“Kotak kompos ini direka khas untuk lebih efisien dan mesra alam tanpa memerlukan bahan pemecut tambahan, menjadikannya lebih mudah digunakan serta menjimatkan kos,” jelasnya.
Penyelaras program, Beatrice Lyeja Kayok yang juga pelajar pascasiswazah UPM berkata, lebih 300 kilogram makanan telah berjaya diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk masjid tempatan dan individu kurang berkemampuan.
“Pengendali gerai turut memainkan peranan penting dengan menyumbangkan lebihan makanan yang masih elok selepas operasi harian, memastikan tiada pembaziran berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, program ini dijangka akan diteruskan sehingga akhir Ramadan dan perancangan untuk memperluaskannya ke kawasan lain di Bintulu selepas Hari Raya Aidilfitri sedang digerakkan.
Date of Input: 27/03/2025 | Updated: 27/03/2025 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA