Oleh Syasya Nur Sabiha Shahrudin
SERDANG, 4 Disember - Sempena Hari OKU Sedunia, Ikmal Mustafa Musbah, 25, berjaya membuktikan bahawa lumpuh dan pergerakan tangan yang terhad bukan penghalang baginya menjadi seorang arkitek.
Perjalanan menjadi seorang arkitek perlu ketabahan, kerana perlu menghasilkan banyak lakaran, model 3D dan model senibina, namun Ikmal boleh menghasilkan semua itu walau pun pergerakannya terhad.
Graduan Bacelor Sains Senibina dengan Kepujian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkongsi bahawa beliau gigih dengan kepayahan menyiapkan kerja kursus demi mengejar cita-cita.
“Disebabkan keadaan saya, saya perlu berusaha lebih untuk menyiapkan kerja kursus berbanding rakan sekelas saya yang lain.
“Itu bukan halangan buat saya kerana saya tekad untuk menjadi seorang arkitek yang menitikberatkan tentang isu kemudahan OKU.”
Ikmal menceritakan bahawa beliau ingin menggunakan ilmu yang diperolehnya untuk berbakti kepada golongan OKU dengan memberi keutamaan agar setiap bangunan perlu ada prasarana asas yang mesra OKU seperti tandas dan laluan kepada mereka.
“Sempena Hari OKU Sedunia, saya berharap agar pelajar OKU kekal percaya kepada keupayaan diri sendiri. Anda boleh mencapai lebih daripada anda sangkakan. Ingatlah bahawa walaupun anda kurang upaya tidak semestinya anda tidak berdaya.”
Date of Input: 04/12/2024 | Updated: 04/12/2024 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA