Oleh: Ain Nabihah Mohd Padaliah dan Nur Atma Najihah Jamali
SERDANG, 23 Disember - Kelab Mahasiswa Fizik (KMF), Majlis Perwakilan Fakulti Sains (FaSSCO) telah menganjurkanKem Gerak Ilmu Fizik (Genphys 24–28) baru-baru ini bagi memberi pendedahan kepada pelajar baharu Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada alam universiti dan bidang fizik.
Ketua Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Awang Kechik berkata program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidang fizik melalui pelbagai aktiviti interaktif.
“Saya berharap agar para pelajar baharu mengekalkan hubungan yang terjalin melalui program ini serta memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi yang akan memberi manfaat kepada pelajar di masa depan,” katanya.
Ketua Fasilitator Genphys 24–28, Muhammad Haziq Azaidi, yang juga Presiden KMF berkata, program ini memainkan peranan penting dalam memperkenalkan pelajar baharu kepada suasana universiti sebagai mahasiswa Jabatan Fizik di UPM serta merangsang pemikiran inovatif dan kreatif dalam kalangan mereka.
“Ini dapat memberi pendedahan awal kepada cabaran yang bakal mereka hadapi sepanjang pengajian di Jabatan Fizik, UPM khususnya serta membekalkan kemahiran dan strategi untuk mengatasi cabaran tersebut,” katanya.
Pelajar Tahun Satu, Bacelor Sains Fizik Instrumentasi dengan Kepujian, Siti Aisyah Mohamad Rozi, berkata melalui program itu beliau berpeluang untuk meningkatkan kemahiran insaniah untuk membentuk personaliti yang positif.
“Genphys 24–28 adalah program yang merapatkan ukhuwah antara pelajar jabatan Fizik selain meningkatkan pengetahuan saya dalam bidang fizik. Saya berasa teruja dengan aktiviti yang disediakan oleh para fasilitator dan berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi menjamin kualiti pelajar Jabatan Fizik,” katanya.Program yang disertai oleh 96 pelajar baharu tahun satu Jabatan Fizik, 28 orang Exco KMF sebagai fasilitator serta dibantu oleh empat orang pensyarah Jabatan sebagai penasihat program.
Genphys 24–28 kali ini membawakan pelbagai pengisian menarik kepada para pelajar, termasuk slot “The Magical Night of Physics”, di mana pelajar tahun satu bekerjasama mencipta persembahan kreatif yang mengandungi konsep-konsep fizik.
Slot Experiential Alumni pula menampilkan penerima Anugerah Apresiasi Alumni Majlis Makan Malam Sireh Pulang ke Gagang @ Homecoming XII, Asraf Mustaqim Amran yang merupakan alumni Bacelor Sains Bahan dengan Kepujian yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Dr. Gadget UPM.
Dalam sesi ini, beliau telah berkongsi perjalanan kerjayanya, prinsip kejayaannya serta cabaran dan peluang yang dihadapi dalam dunia profesional
Sesi ini juga turut dihadiri oleh alumni Fakulti Sains, Muhammad Ahnaf Sharifulazman dan penerima Pingat Emas Canselor sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-44, Aini Nazihah Hasin@Hassan.
Dalam pada itu, program tersebut turut menampilkan slot menarik lain seperti “Physics Star in The Making”, “Accelerace”, “Sharing Buddies”, “Fizikrobik” serta “Physics@nature” yang merangkumi pelbagai perkongsian, aktiviti pembelajaran dan cabaran berkonsepkan fizik.
Date of Input: 23/12/2024 | Updated: 23/12/2024 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA