Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 6 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Pertanian telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama TM One untuk memajukan pertanian lestari, keselamatan makanan dan persediaan kerjaya bagi generasi masa depan, baru-baru ini.
Kerjasama yang merangkumi Program AgroSTEM@Putra ini mendorong transformasi digital dalam pendidikan serta amalan pertanian dengan membekalkan generasi masa depan kemahiran tambahan yang diperlukan dalam bidang itu.
AgroSTEM@Putra bertujuan untuk memupuk minat mereka dalam pendidikan pertanian dan teknologi serta memastikan generasi akan datang memahami kepentingan sektor ini bagi meneruskan kerjaya dalam bidang pertanian digital.
Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen berkata jalinan strategik bersama industri itu dapat membuka peluang kepada pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran dalam digitalisasi pertanian dalam membantu isu keterjaminan makanan.
“Demi membangunkan pakar bidang pertanian moden, kerjasama ini juga menjalani program pemindahan pengetahuan serta latihan industri dan pengalaman praktikal untuk pelajar UPM.
“Pertanian amat penting kerana ia adalah sumber makanan kita dan di UPM, kami memberi fokus dalam melatih individu untuk berkhidmat kepada industri dan masyarakat bagi membentuk masa depan pertanian,” ujarnya.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, kerjasama ini menunjukkan komitmen TM sebagai Digital Powerhouse dalam memacu pertumbuhan industri melalui pendigitalan dan kelestarian, sekali gus mendorong transformasi pertanian Malaysia.
“Kami juga berhasrat untuk meningkatkan produktiviti, kelestarian, dan keselamatan makanan dalam sektor ini bersama UPM,” katanya.
Selain itu, kolaborasi ini dapat mengintegrasikan internet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan robotik dalam sistem pengurusan bagi menambah baik aliran kerja pertanian serta menjadikan lebih cekap di ladang atau pusat pertanian.
Terdahulu, Blueprint Keterjaminan Makanan UPM telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Menteri Pendidikan Tinggi sebagai rujukan institusi pendidikan tinggi menangani agenda keterjaminan makanan negara.
Tarikh Input: 06/03/2025 | Kemaskini: 06/03/2025 | aghniya
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA