Oleh Mohd Nazri Md Yasin
AMMAN, 27 Jan - Delegasi Universiti Putra Malaysia (UPM) meningkatkan kerjasama akademik dan pengantarabangsaan program pendidikan yang ditawarkan dengan empat buah universiti di Jordan baru-baru ini.
Delegasi yang diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan telah mengadakan lawatan kerja ke Amman Arab University (AAU), Jordan University of Science and Technology (JUST), Yarmouk University dan University of Jordan.
Beliau menyifatkan lawatan itu permulaan kepada hubungan kerjasama pengantarabangsaan yang lebih erat dengan universiti-universiti di Jordan dan Timur Tengah.
“Lawatan ini menepati sasaran yang ditetapkan dengan mencapai persefahaman dan komitmen positif yang diberikan oleh keempat buah universiti di Jordan.
“Ini merupakan usaha universiti meningkatkan keberhasilan akademik dan penyelidikan serta menarik pelajar/staf dari universiti di Jordan untuk datang ke UPM,” katanya.
Beliau mengadakan pertemuan dengan President dari Arab Amman Universiy (AAU), Presiden Jordan University of Science and Technology (JUST) dan Timbalan Presiden Yarmouk University pada 26 Januari lalu dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat dengan kedua universiti itu.
Delegasi UPM turut menandatangani MoU selepas perjumpaan dengan pegawai pengurusan University of Jordan pada 27 Januari lalu.
Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan bagi aktiviti pertukaran pelajar/staf, menawarkan ijazah berkembar (jointly awarded degree), menganjurkan seperti persidangan antarabangsa, seminar dan kolaborasi dalam bidang penyelidikan.
Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi turut menyatakan hasrat untuk menjemput Presiden dan pengurusan Universiti dari Jordan melawat UPM untuk melihat sendiri kemudahan dan sistem akademik mereka.
Pengarah Education Malaysia Jordan, Prof. Madya Dr. Azidan Abdul Jabar turut menyertai delegasi UPM ke Jordan.
Jordan University of Science dan Technology (JUST)
Merupakan sebuah universiti kerajaan yang komprehensif terletak di pinggir Irbid, 70km utara Amman, ibu negara Jordan. JUST diasaskan pada 1986, sentiasa berada di barisan hadapan sektor pengajian tinggi dunia Arab. Universiti itu tersenarai sebagai 50 universiti penyelidikan terkemuka dunia Islam berdasarkan kajian Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC).
Kini JUST mempunyai lebih daripada 800 staf akademik sepenuh masa, dengan 20,000 pelajar peringkat ijazah dan 1800 pelajar pascasiswazah, berbanding hanya 2,300 pelajar sekitar tahun 1986-1987. Universiti ini juga menempatkan sejumlah 5,000 pelajar antarabangsa dari 60 negara, menjadikannya universiti yang mempunyai pelajar pelbagai latar budaya teramai di Jordan.
JUST menawarkan pelbagai program ijazah lanjutan di peringkat siswazah dan pascasiswazah yang kebanyakannya tidak ditawar oleh mana-mana universiti lain di Jordan. Universiti ini mempunyai 12 fakulti (Perubatan, Kejuruteraan, Sains & Seni, Farmasi, Pergigian, Pertanian, Perubatan Veterinar, Seni Bina, Teknologi Maklumat, Sains Gunaan, Kejururawatan dan Pengajian Siswazah) dan 55 jabatan yang menawarkan 42 program siswazah dan 95 program pascasiswazah.
Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA