Oleh: Helena Pieary Anak Juman
Foto: Mohd Izrul Jabar
SERDANG, 21 November - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Kejuruteraan telah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi “Projek Rooftop Solar PV Berskala Besar (The Largest Rooftop Solar Photovoltaic (PV) Project in Public Universities)” dan “Floating Solar &Walkway @ Eng UPM (FSW)”: Hidroponik-Aquavoltaic Bersepadu Berskala Besar (The First Large Scale Intergrated Hydroponic-Aquavoltaic Systems (IHAS)).”
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Mustapha Sakmud hadir menyaksikan sesi penyampaian dua pengiktirafan MBOR.
Pengiktirafan ini merujuk kepada pemasangan Rooftop Solar PV berkapasiti besar, iaitu 16.18 MWp di UPM, melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE), yang dilaksanakan bersama GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) iaitu anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata projek ini antara usaha universiti melalui Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang menekankan eleman kelestarian penyelidikan dan inovasi serta pengukuhan jaringan industri dan masyarakat,
“UPM akan terus proaktif dalam menggariskan perancangan yang strategik bagi memastikan amalan kelestarian terus bercambah segar,” katanya.
Dekan Fakulti Kejuruteraan, UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir berkata projek ini mampu menyokong ekosistem lestari kepada alam sekitar.
“Saya yakin dengan adanya projek ini akan dapat meningkatkan fungsi sistem ini sebagai platform pembelajaran dan penyelidikan inovatif dalam pembangunan modal insan,” katanya.
Selain itu, pemasangan sistem solar berkapasiti 16.18 MWp ini, UPM dijangka bakal menikmati penjimatan bil elektrik sebanyak RM114 juta untuk tempoh 25 tahun.
Pemasangan sistem ini juga mampu mengurangkan 14,655 tan metrik karbon dioksida setahun bersamaan dengan pembebasan asap 3,187 buah kenderaan setahun atau penyerapan karbon dioksida oleh 242,320 batang pokok dalam tempoh 10 tahun.
Inisiatif itu juga selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mensasarkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 70 peratus menjelang 2050 yang menjadi pemangkin utama dalam pembangunan sosioekonomi serta aspirasi negara dalam mengurangkan karbon pada 2040.
Dalam pada itu, Datuk TS. Mustapha turut melancarkan J.Lounge atau lebih dikenali sebagai PUTRA Learning Café iaitu ruang kolaboratif hasil kerjasama dengan Kopi Mesin dan j.Map iaitu sistem papan tanda digital mesra pengguna dengan penggunaan teknologi peta untuk memudahkan navigasi di sekitar fakulti dengan lebih mudah dan cepat.
Tarikh Input: 21/11/2024 | Kemaskini: 21/11/2024 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA