Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Md Nasir Hussin
SERDANG, 6 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM), Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berkolaboratif bersama menganjurkan Kongres Pelestarian Standard Bahasa Melayu peringkat Kebangsaan 2023 (KoPeSta BM) bagi membincangkan permasalahan pembelajaran subjek ini dalam kalangan murid sekolah rendah.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komuniukasi (FBMK) UPM, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim berkata kongres ini menjadi platform buat warga pendidik di sekolah rendah bagi menangani cabaran pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu dan hasil inovasi dalam subjek ini.
“Penganjuran Kongres ini sudah semestinya menjadi salah satu langkah afdal yang wajar dipuji dan ditunjukkan sokongan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu.
“Perkongsian ilmu oleh ahli akademik pada hari ini adalah selari dengan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual yang harus dibangunkan. Penggunaan bahasa Melayu seharusnya merentas disiplin ilmu,” katanya.
Tegasnya, semangat cinta akan bahasa kebangsaan seharusnya disemai dalam setiap jiwa anak Malaysia.
“Sejajar dengan kata-kata mutiara, hilang bahasa, lenyaplah bangsa. Maka, ianya tidak perlu dipandang enteng oleh setiap warga Malaysia. Kedudukan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara haruslah dijulang dalam segenap lapangan,” katanya.
KoPeSta BM yang julung kali diadakan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasami di Auditorium Rasdan Baba, di sini, hari ini.
Senator Saraswathy berkata usaha pemerkasaan bahasa harus terus dilaksanakan tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik.
“Semoga ilmu wacana intelek yang dikongsi oleh setiap guru dapat dimanfaatkan mengikut kesesuaian di sekolah masing-masing. Pastinya input ini dapat mendukung usaha murni KPM dan guru-guru dalam menjayakan agenda kurikulum bahasa kebangsaan di sekolah masing-masing,” katanya. -UPM
Tarikh Input: 09/11/2023 | Kemaskini: 09/11/2023 | ezzatyazhari
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA