Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 7 Mac - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) hari ini bagi mengadakan program latihan pembangunan untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan berkata MoU menerusi Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) UPM ini seiring dengan Ikhtiar Ke-2 naratif beliau iaitu ‘Menjajarkan Penyelidikan dan Jaringan Ke Arah Inovasi Sosial’ yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat serta memenuhi keperluan dan aspirasi nasional.
Kerjasama ini juga meliputi program pembangunan atlit dalam kalangan OKU penglihatan di Malaysia dan program pemerkasaan OKU dalam bidang pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Putra Future Classroom Task Force, FPP UPM sebelum ini pernah bekerjasama dengan MAB bagi penganjuran Persidangan Meja Bulat Hal Ehwal Pembangunan OKU Penglihatan secara maya pada tahun 2021. Oleh itu, penganjuran persidangan dan seminar bersama ini juga akan diteruskan menerusi MoU ini," katanya.
Turut hadir, Dekan FPP UPM Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Naib Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Datin Fauziah Mohd Ramly dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Dato' George Thomas. -UPM
Tarikh Input: 20/06/2023 |
Kemaskini: 20/06/2023 | syamilakamarul
PERKONGSIAN MEDIA