Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang
SERDANG, 21 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Pertanian Putra (PPP) dan Consortium Malaysia Universities (CMU) menjalinkan kerjasama bantuan saraan belanja harian bagi membantu pelajar sekolah rendah melalui jualan hasil pertanian buah melon.
Naib Canselor, UPM, Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata program Kasih Madani CMU-UPM ini memberikan bantuan kepada pelajar dari Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kalangan keluarga yang berpendapatan rendah atau miskin tegar.
“Melalui program ini, CMU akan mendapatkan penderma untuk membeli sambil menderma produk keluaran PPP, UPM iaitu dua biji Sun Melon di dalam sebuah kotak dengan harga RM388.
“Sebahagian besarnya pembelian melon ini akan disalurkan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah yang digunakan sebagai bantuan makanan percuma selama 80 hari,” katanya pada pelancaran program Kasih Madani UPM-CMU di Foyer Dewan Taklimat Serdang, di sini hari ini.
Tambahnya, sebagai permulaan, UPM dan CMU menyasarkan untuk menjalankan program ini di 30 buah sekolah di dalam negeri Selangor dengan sasaran 10 pelajar bagi setiap sekolah.
Dalam pada itu, beliau juga berharap agar program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan lebih banyak bantuan akan dapat disalurkan kepada murid yang memerlukan.
Menurut Pengarah PPP UPM, Prof. Madya. Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata program bantuan saraan belanja harian ini dapat memenuhi pemakanan harian murid supaya mereka dapat memberikan fokus sepenuhnya dalam pembelajaran di sekolah.
"Kekayaan sumber tanaman yang dihasilkan di UPM perlu dikongsikan kepada masyarakat melalui penjualan buah seperti ini atau hasil tanaman lain sambil menderma yang akan membantu mereka yang memerlukan.
“Saya juga berharap kerjasama ini dapat memupuk minat anak-anak muda dan pelajar-pelajar terhadap bidang pertanian terutamanya tanaman, ternakan dan perikanan dan seterusnya peluang untuk melanjutkan pengajian ke UPM,” katanya.
Sementara itu, Penasihat CMU, Dato Seri James Wong berkata Kerjasama ini akan dijalankan sepanjang tahun mengikut kepada hasil sun melon yang dikeluarkan oleh PPP UPM.
“Bagi mereka yang berminat untuk membeli sambal menderma ini boleh dapatkan QR Code pada poster ini atau hubungi kami di Facebook CMU Consortium of Malaysian Universities di pautan,” katanya. -UPM
Tarikh Input: 26/07/2023 | Kemaskini: 28/07/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA