SERDANG, 13 Okt – Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Institut Biosains, UPM dan Putra Bakti UPM telah menganjurkan Siri Kedua Jelajah Komuniti “Program Hands of Hopes” yang disertai oleh 100 pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, baru-baru ini.
Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Pejabat Pendaftar, UPM, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, aktiviti menarik yang dijalankan antaranya ialah slot Bantu Diri dan Orang Lain Menerusi Kaedah NLP yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM, Prof. Madya Dr. Hanina Halimatusaadiah Hamsan.
“Perkongsian ini menarik minat dan perhatian peserta menerusi pendekatan psiko-pendidikan yang dilaksanakan kerana melaluinya pelajar dilatih cara mengawal corak pemikiran dan emosi dengan pantas dan berkesan.
“Program ini dilihat sebagai inisiatif baik dalam usaha untuk memastikan budaya pemindahan ilmu daripada golongan pakar berlangsung dengan sistematik,” katanya.
Sementara itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling, SMK Seri Serdang, Chen Chai Khoon berkata, para pelajar yang dilihat menunjukkan komitmen dan keterujaan sepanjang program ini berlangsung diharapkan dapat menggarap pengetahuan dan pengalaman yang berharga.
Dalam pada itu, kerjasama yang baik antara pihak UPM dan komuniti setempat terutama sekolah-sekolah terpilih wajar dijadikan panduan kepada pemerkasaan individu dari peringkat akar umbi lagi untuk melahirkan golongan muda yang berdaya tahan dalam mendepani cabaran mendatang.
Tarikh Input: 13/10/2023 | Kemaskini: 13/10/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA