Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail
SERDANG, 12 Mac – Laboratori Penyelidikan Kanser UPM-MAKNA, Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd menganjurkan PUTRA-MAKNA Run 2016 bagi menghimpun dana penyelidikan penyakit kanser.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur PUTRA MAKNA Run 2016, Prof. Dr. Rozita Rosli berkata program itu turut mempromosikan Laboratori Penyelidikan Kanser UPM-MAKNA di IBS, UPM sebagai makmal ahli saintis menjalankan penyelidikan mengenai kanser.
“UPM menumpukan pelbagai sumber dalam usaha untuk memahami dan mengawal penyakit ini. Kami turut membentangkan hasil kerja yang dijalankan di kalangan penyelidik serta perkhidmatan yang disediakan bertujuan sebagai acara pendidikan untuk orang awam,” katanya.
Beliau berkata, penyakit kanser kini adalah punca utama kematian di seluruh dunia termasuk Malaysia. Punca penyebab penyakit itu tidak diketahui secara terperinci dan justeru itu amalan pencegahan kanser adalah penting.
“Penyakit ini menyerang pesakit tidak mengira umur, jantina dan bangsa dan mereka yang melalui proses rawatan menghidapi pelbagai kesakitan. Dengan penyelidikan di laboratori, kami berharap akan menemui kaedah yang lebih baik untuk merawat pesakit kanser,” katanya.
Pada majlis itu, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh merasmikan serta melepaskan 1,250 peserta larian 5 km dan 7 km yang terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaksikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Pengarah Jualan dan Pemasaran Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada dan Tan Sri Mohammad Tajol Rosli.
Antara aktiviti lain dijalankan adalah senamrobik, booth saringan kesihatan dan kanser serta pameran penyelidikan oleh Laboratori Penyelidikan Kanser UPM-MAKNA. - UPM
Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA