Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Sabri Omar
SERDANG, 27 Okt - Bakteria Streptococcus Kumpulan B (GBS) pada ikan air tawar mentah berisiko menjangkiti manusia dan menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius jika tidak dirawat dengan segera.
Penemuan ini terbukti pada tahun 2015 ketika jangkitan tersebut menular dalam kalangan rakyat Singapura yang sihat akibat makan ikan air tawar yang tidak dimasak dan menyebabkan mereka mengalami jangkitan bakteria GBS ST 283 yang belum dikesan ketika itu.
Jangkitan bakteria GBS daripada ikan mentah turut perlu diberi perhatian bagi memastikan gen-gen rintangan antibiotik tidak diperoleh manusia yang boleh menyebabkan permasalahan untuk merawat penyakit yang dihasilkan oleh bakteria tersebut.
Pensyarah Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Syafinaz Amin Nordin berkata sebagai pengguna langkah pencegahan penularan jangkitan ini adalah penting untuk memastikan makanan disediakan perlu masak dengan sempurna.
“Selain itu pengendali makanan perlu mengamalkan kebersihan yang optimum kerana manusia juga boleh menjadi pembawa pada bakteria ini dan boleh berlaku jangkitan kepada manusia,” katanya pada Syarahan Inaugural ‘Group B Streptococcus in Human and Fish, and in Between’ di sini.
Tambah beliau, kebarangkalian untuk manusia menjadi pembawa bakteria itu selalunya berada di dalam bahagian usus dan rektum.
“Contohnya wanita jika mempunyai jangkitan GBS di saluran faraj akan mempunyai risiko menjangkiti bayi dalam kandungan dan anak semasa dilahirkan yang akan menyebabkan jangkitan kepada otak dan paru-paru yang serius,” katanya.
Tarikh Input: 30/10/2023 | Kemaskini: 30/10/2023 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA