Program ‘ProEXSA: Graduate Employability’ Perkasa Kebolehpasaran Graduan | Universiti Putra Malaysia
BYELXAV~
» BERITA » Program ‘ProEXSA: Graduate Employability’ perkasa kebolehpasaran graduan

Program ‘ProEXSA: Graduate Employability’ perkasa kebolehpasaran graduan

 

SERDANG , 20 Sept – Seramai 76 orang peserta menghadiri program ProEXSA: Graduate Employability, yang pertama kali diadakan bertujuan meningkatkan kebolehpasaran serta memastikan mahasiswa mempunyai nilai tambah dan lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan.

Pensyarah dan alumni industri menyampaikan pandangan daripada sudut perspektif mereka mengenai kemahiran dan kompetensi yang diperlukan oleh pasaran buruh, pada program yang dianjurkan oleh Chapter Alumni YOSH UPM dengan kerjasama Pusat Alumni UPM itu.

Pengerusi Chapter Alumni YOSH UPM, Muhammad Azri, berkata program itu mampu menghasilkan pelajar yang mempunyai wawasan serta pemikiran yang baik terhadap kemahiran kerjaya.

Katanya, peserta diberikan pendedahan berkenaan tips pembelajaran berkesan daripada pensyarah, alumni dan pelajar cemerlang UPM, serta  didedahkan dengan kemahiran insaniah dan kemahiran menguruskan perniagaan bagi meningkatkan ketrampilan mereka.

“Semua kemahiran ini merupakan aset bagi kebolehpasaran graduan dan penentu untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Timbalan Dekan (Akademik), Fakulti Sains, UPM, Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd Aziz berkata, inisiatif Chapter YOSH UPM itu sangat baik untuk mengisi masa pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pendedahan program ini juga secara tidak langsung dapat memupuk sikap positif, personaliti unggul serta motivasi yang tinggi dalam kalangan mahasiswa untuk mendepani cabaran yang mendatang,” katanya.

Program itu dibahagikan kepada dua slot utama iaitu slot 101 Degree Life Hacks dan slot FAQ: Talk with Lecturer and Students yang dikendalikan oleh panel yang pakar dalam bidang masing- masing. – UPM

Tarikh Input: 12/11/2020 | Kemaskini: 12/11/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---