Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 20 November - Universiti mula tawar program pengajian melalui mode APEL C setelah menerima akreditasi tersebut dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi semua program pengajian yang ditawarkan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Akreditasi APEL C ini memudahkan pelajar untuk mendapatkan pindahan kredit kursus dalam program yang diikuti berdasarkan pengalaman sedia ada atau terkumpul bagi serta mengurangkan kos dan masa tamat pengajian.
Pengarah Pusat Jaminan Kualiti, UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib berkata, fungsi APEL C ini memudahkan pelajar diploma, degree serta sarjana semasa untuk memohon pindahan kredit berdasarkan pengalaman mereka.
“Proses penilaian juga berlaku dengan memberi tugasan atau portfolio bergantung kepada program pengajian berkaitan dengan pengalaman itu boleh menggantikan kredit dimana mereka tidak perlu ambil subjek atau kursus tersebut,” katanya yang ditemui selepas Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan UPM semalam.
Menurut beliau, pelajar juga akan mendapat nasihat daripada penasihat yang mengurus dalam hal ini mengenai kelayakan berdasarkan pengalaman kerja mereka.
“Unit APEL ini terletak di bawah Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir, UPM dan pegawai-pegawai bertanggungjawab akan uruskan permohonan pelajar yang memohon melalui fakulti mereka.
“Permohonan yang dilakukan oleh mereka berdasarkan pengalaman bekerja dan harus seiring dengan program diambil serta adanya proses penilaian,” katanya.
Dalam pada itu, UPM telah menerima Akreditasi APEL C pada bulan Ogos lalu dan peluang ini dibuka kepada semua program di UPM kecuali program penyelidikan bagi mengiktiraf pengalaman kerjaya dalam melengkapkan pengajian.
Tarikh Input: 21/11/2024 | Kemaskini: 21/11/2024 | aghniya
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA