Oleh Syifarida Muhamad Zaki
SERDANG – Pelajar Bachelor Senibina Landskap, Fakulti
Rekabentuk & Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), muncul naib
johan pertandingan Rekabentuk Landskap Tasik Sri Aman, baru-baru ini.
Muhamad Anuar Anas Zainal, Muhamad Akni Akim Saharudin dan
Nazirul Syahmi Romlan membawa pulang hadiah bernilai RM2,000 dan sijil
penyertaan.
Pertandingan anjuran Tabung Veritas untuk Kecermerlangan
(VFE) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu bertujuan
mengindahkan lagi Taman Tasik di Puchong itu.
Ia terbuka kepada semua pelajar universiti tempatan dan diadakan
secara berperingkat bermula Oktober lalu.
Ketua kumpulan, Muhamad Anuar Anas berkata penyertaan mereka
adalah atas inisiatif sendiri sebagai platform untuk menonjolkan idea dan
meneroka pengalaman berbeza dalam bidang Senibina Landskap.
“Kami hanya perlu menghantar cadangan rekabentuk sebelum
tarikh tutup pada Disember lalu.
“Apabila dimaklumkan telah berjaya ke peringkat akhir, kami
diminta untuk membuat pembentangan pada 15 Februari lalu dan diumumkan sebagai
naib juara pada hari yang sama.
“Tak sangka pula kami muncul naib johan,” katanya.
Pada peringkat akhir, mereka bertemu dengan dua kumpulan
dari Universiti Islam Antarabangsa dan dua kumpulan dari Universiti Lim Kok
Wing.
“Layak ke peringkat akhir adalah kejayaan besar bagi kami kerana pertandingan ini diadili oleh hakim yang professional iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Varitas Design, Encik David Mizan Hashim,” katanya. - UPM
Tarikh Input: 13/03/2017 | Kemaskini: 15/03/2017 | idah
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA