Kota Tinggi, 3 Ogos – Sekumpulan pelajar pelajar Bachelor Sains dan Teknologi Makanan(BSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan Program SULAM
#HYGIENE4ALL bagi meningkatkan kesedaran kebersihan peribadi dan makanan dalam kalangan murid-murid serta peniaga di daerah Kota Tinggi, di sini, baru-baru ini.
Program dengan kerjasama Majlis Daerah Kota Tinggi, Johor dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor ini turut menekankan punca
keracunan makanan yang sentiasa diabaikan oleh masyarakat.
Pensyarah kursus FST 3601 Kebersihan dan Sanitasi Makanan, Prof. Madya Dr. Nor Khaizura Mahmud @ Ab Rashid berkata program ini mendidik pelajar UPM untuk berkongsi
ilmu yang telah dipelajari bersama penduduk setempat.
“Melalui program ini, aplikasi ilmu pengetahuan dapat dipraktikkan dan hampir 200 orang peserta terdiri daripada murid tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk juga peniaga dan penduduk tempatan menyertai program ini.
“Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kebersihan dan sanitasi dalam kalangan masyarakat daerah Kota Tinggi dan mengurangkan kes keracunan
makanan yang sentiasa berlaku di daerah Kota Tinggi sebelum ini,” katanya.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program ini diadakan seperti pameran rerurai, pertandingan mewarna, kuiz, serta ceramah berkaitan kepentingan kebersihan makanan.
Tarikh Input: 05/09/2023 | Kemaskini: 07/09/2023 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA