Malahan mereka yang memberikan minyak masak terpakai kepada
UPM, akan dibayar RM1 bagi setiap 1 kg minyak itu.
Proses bagi 100 liter minyak masak terpakai akan mengambil
masa kira-kira enam jam untuk menghasilkan 90 liter biodiesel dan 10 liter
glycerol.
Enjin diesel tidak memerlukan pengubahsuaian bagi penggunaan
biodiesel itu kerana 10 peratus biodiesel perlu dicampur dengan 90 peratus
diesel tulen (B10) sebelum digunakan.
Kumpulan penyelidik UPM menjalankan penyelidikan kira-kira
lima tahun bagi penghasilan biodiesel itu.
Ketua Unit, Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti
Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM, Prof. Dr Mohd Ali Hassan berkata,
biodiesel itu memenuhi piawaian SIRIM. Bas serta traktor UPM sudah mula
menggunakannya dalam fasa pertama penggunaan biodiesel.
“Penggunaan minyak masak terpakai yang merupakan sumber
alternatif untuk penghasilkan biodiesel akan dapat mengurangkan kesan pemanasan
global dan pelepasan gas rumah hijau ke alam sekitar,” katanya pada majlis
perasmian kempen pengumpulan minyak masak terpakai untuk diproses kepada
biodiesel di sini.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri
dan Masyarakat) UPM, Prof Dr Ing Ir. Renuganth Varatharajoo dan turut dihadiri
Pengurus Cawangan CIMB UPM, Zuraiti Zakaria. Projek itu mendapat suntikan dana
RM45,000 daripada CIMB Foundation.
Prof. Dr Mohd Ali berkata, pemprosesan kepada biodiesel akan
dapat mengelakkan minyak masak terpakai daripada dibuang secara tidak terurus
yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan jika digunakan berulang kali
pula, boleh memudaratkan kesihatan seperti peningkatan kolestrol dalam badan.
UPM menyediakan tiga tempat pengumpulan minyak masak
terpakai iaitu di Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti
Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) dan Biorefinery@UPM (Loji Pandu
Biokompos).
“Kita memberi alternatif kepada pengguna selain memberi RM1
bagi setiap 1 kg minyak terpakai yang dihantar ke pusat pengumpulan itu,”
katanya dan berharap mereka yang mahu menghantar minyak masak terpakai supaya
memasukkan minyak berkenaan ke dalam bekas minyak asal untuk memudahkan ia
ditimbang.
Prof Dr Ing Ir. Renuganth dalam ucapannya pula berkata, projek itu adalah satu platform terbaik yang memperlihatkan bagaimana penyelidikan terhadap bahan yang selama ini dibuang boleh menghasilkan pulangan. – UPM
Tarikh Input: 13/03/2017 | Kemaskini: 15/03/2017 | idah
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA