Oleh Azman Zakaria
Foto Mohd Hasrul Hamdan
SERDANG, 24 Okt - Berdepan masalah kewangan kerana tidak mendapat biasiswa dan pinjaman, tidak melemahkan semangat Nur Anis Kamaruddin dalam menuntut ilmu, sebaliknya beliau mengerah keringat bekerja sambilan sehingga menjelang dini hari di sebuah restoran makanan segera, untuk menampung kos pengajiannya.
Kepayahan dan penat gerih yang dilaluinya dengan sabar sejak dari tahun pertama pengajian pada 2012 membuahkan hasil apabila beliau menerima ijazah Bacelor Sains Pembangunan Manusia, pada Majlis Konvokesyen ke-40 Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Nur Anis, 24, dari Pasir Mas, Kelantan berkata, keluarganya pada awalnya tidak mengetahui beliau bekerja dan pelik bagaimana beliau boleh membayar kos pengajian sedangkan tidak mendapat biasiswa dan pinjaman.
“Apabila mereka mendapat tahu, mereka terkejut tapi tidak menghalang saya bekerja,” katanya yang bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera di Sri Serdang di sini.
Katanya, beliau bekerja hampir setiap hari dari pukul 6 petang hingga 1 pagi ketika tiada kuliah dan memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.
Menurutnya, keluarganya juga ada memberi wang kepadanya.
“Saya perlu betul-betul membahagikan masa dan mengatur jadual. Saya tidur empat jam atau kurang daripada empat jam sehari,” kata anak ketiga daripada lapan beradik itu.
“Saya juga perlu melakukan sedikit pengorbanan… jarang dapat bersama rakan-rakan, tetapi mereka memahami saya,” katanya yang ketika bersekolah pernah mewakili Kelantan dalam acara gimnastik tetapi akibat kecederaan kini hanya menyertai olahraga larian jarak jauh. - UPM
Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA