Bunga raya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan negara oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 28 Julai 1960 ketika di sebuah pameran Malayan Agro-Horticultural Association (MAHA).
Bunga raya atau nama saintifiknya Hisbiscus rosa sinensis merupakan tumbuhan tropika yang berasal dari Afrika, Asia, dan Kepulauan Pasifik. Ia memerlukan persekitaran yang panas serta lembap dan boleh ditanam dalam pasu atau di tanah.
Justeru bunga raya yang berwarna merah dipilih sebagai bunga kebangsaan. Selain daripada warna dan bentuknya yang menarik, bunga raya lebih terkenal dan mudah didapati di seluruh negara. Ia dikenali dengan nama yang sama di seluruh negara. Malah, ketika itu bunga raya merah bukanlah bunga kebangsaan bagi mana-mana negara lain.
Generasi-generasi terdahulu sedia maklum tentang penggunaan bunga raya dalam masyarakat setempat tertumpu kepada mengubati beberapa kondisi seperti demam panas, sakit kepala dan bengkak dengan tuaman daunnya. Ini berikutan terdapatnya komponen kimia dalam tumbuhan bunga raya yang bersifat antipyretic.
Walaubagaimanapun menurut Pakar Botani, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (FSUPM), Profesor Dr. Rusea Go pada zaman sekarang agak sukar untuk melihat masyarakat kita menanam bunga raya di perkarangan rumah seperti dahulu kala.
Hal ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti perkembangan bidang hortikultur yang memberikan akses kepada tumbuhan hiasan yang pelbagai serta trend hiasan landskap semasa.
Bukan itu sahaja masih ada masyarakat yang beranggapan bahawa bunga raya adalah bunga kampung dan tidak bernilai berbanding bunga-bunga lain. Bunga raya amat bernilai tinggi kepada negara dan juga bangsa yang sangat perlu dihargai.
Bunga kebangsaan ini merupakan tumbuhan biasa dari segi kewujudan botani, simbolisme dan pengiktirafannya sebagai bunga kebangsaan memberikannya status istimewa dalam konteks budaya dan negara Malaysia. Ia juga mencerminkan penghargaan negara terhadap keindahan semula jadi.
Tetapi tidak dinafikan bahawa pokok bunga raya mempunyai peminatnya yang tersendiri. Masih ada orang yang memilih untuk menghiasi laman mereka dengan menanam pokok bunga raya atas nilai-nilai estetikanya yang tersendiri.
Jadi amatlah rugi jika kita tak berkenalan dengan bunga raya merah yang melambangkan keberanian dalam menempuh segala cabaran yang mendatang serta simbolik kepada keteguhan politik dan ekonomi negara kita.
Kesemua sifat ini sememangnya telah menjadi faktor penyumbang yang mendorong negara kita dalam mencapai mercu kejayaan dalam pelbagai bidang. Ia terus menjadi simbol kemegahan negara apabila ia digunakan sebagai simbol pada logo-logo,lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan duit syiling.
Sifat bunga raya yang unik daripada bentuk lima kelopak yang terdapat pada bunga raya telah dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara dimana ia merupakan salah satu strategi untuk mencapai perpaduan negara serta masyarakat yang adil dan saksama.
Kepelbagaian bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran juga menandakan kekuatan kepelbagaian bangsa, agama dan kebudayaan rakyat Malaysia yang dapat hidup aman damai dan berharmoni.
Dokonglah aspirasi bunga raya dalam memelihara perpaduan yang wujud demi masa depan Malaysia yang lebih terjamin kerana warnanya merah yang melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian dalam menempuh cabaran.
Tarikh Input: 11/09/2023 |
Kemaskini: 11/09/2023 | syamilakamarul
PERKONGSIAN MEDIA