Oleh : Yasmin Yusoff
Foto oleh : Marina Ismail
SERDANG, 28 Feb – Sebanyak 1,000 ekor anjing berjaya dihimpunkan melalui program Dogathon 2015/16 bagi mengumpulkan dana Projek Pengkasian Haiwan Terbiar (PRO-KASIH).
Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Hair Bejo berkata, program itu dimulakan pada tahun 1997 sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai anjing liar.
“Program ini secara tidak langsung mampu meningkatkan tahap kesedaran di kalangan komuniti setempat berhubung penjagaan haiwan peliharaan dan kebajikan haiwan jalanan,” katanya semasa merasmikan program Dogathon 2015/16 di Bukit Ekspo UPM. Ia dianjurkan pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.
Beliau berkata, ia juga medan untuk membincangkan langkah yang berkesan dalam mengatasi permasalahan itu.
“Dogathon dapat menyebarkan maklumat mengenai haiwan kesayangan kepada orang ramai daripada pelbagai sudut seperti tanggungjawab sebagai pemelihara, penjagaan kesihatan haiwan, kaedah pelaksanaan penjagaan kebajikan haiwan terbiar dan maklumat kerjaya sebagai ahli veterinar.
“Jika kita tidak melihat dengan teliti daripada segi kebajikan dan kesihatan haiwan yang terbiar, ia boleh menimbulkan risiko kepada orang awam. Penyakit zoonotik merupakan penyakit daripada haiwan seperti penyakit anjing gila yang boleh merebak dengan mudah serta boleh berjangkit kepada manusia,” katanya.
Pengarah program, Bryan Andrew Lazarus pula berkata program itu juga dapat memberikan pendedahan kepada pelajar Fakulti Veterinar UPM berkaitan persediaan sebelum memasuki lapangan pekerjaan dalam bidang perubatan veterinar.
“Program ini memberi peluang pelajar untuk mengurus dan mengatur program berasaskan aktiviti kebajikan masyarakat, selain turut memperkenalkan perkhidmatan Hospital Veterinar UPM,” katanya.
Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA