Sistem Pengairan Masa Hadapan: Adaptasi Mampan Hadapi Krisis Iklim | Universiti Putra Malaysia 99 exweb00
» ARTIKEL » Sistem Pengairan Masa Hadapan: Adaptasi Mampan Hadapi Krisis Iklim

Sistem Pengairan Masa Hadapan: Adaptasi Mampan Hadapi Krisis Iklim

Ringkasan Artikel
Malaysia kini berdepan cabaran iklim yang lebih ekstrem daripada banjir kilat yang memusnahkan harta benda, kepada kemarau yang menjejaskan produktiviti serta pengeluaran makanan.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 9 Oktober – Malaysia kini berdepan cabaran iklim yang lebih ekstrem daripada banjir kilat yang memusnahkan harta benda, kepada kemarau yang menjejaskan produktiviti serta pengeluaran makanan.

 

Justeru, sistem pengairan dan saliran negara memerlukan pendekatan baharu yang bukan sahaja mampan, tetapi juga adaptif dan berasaskan data masa nyata.

 

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Yusoff Ishak, berkata isu kemampanan sistem pengairan kini perlu dinilai bukan sekadar dari aspek kuantiti air tetapi juga dari segi kualiti

 

“Lebih 90% daripada air minuman negara ini bersumberkan sungai dan waima berlakunya pencemaran sungai, kita akan minum air tersebut selepas rawatan. Oleh kerana itu perancangan sistem pengairan perlu mengambil kira kedua-dua aspek iaitu kualiti dan kuantiti,” katanya.

 

Tambah beliau, pembangunan pesat yang berlaku sejak negara beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian telah menyebabkan aspek pemuliharaan alam sekitar, khususnya sistem saliran, terpinggir.

 

“Ramai hanya melihat masalah dari aspek banjir tetapi kita juga berdepan cabaran kemarau. Kedua-dua fenomena ini memerlukan pendekatan pengurusan dan adaptasi yang berbeza,” katanya.

 

Dr. Mohd Yusoff berkata, sistem pengurusan saliran yang mampan memerlukan data cuaca dan hidrologi yang terkini dan menyeluruh.

 

“Walaupun teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) mampu membantu, namun keberkesanannya sangat bergantung kepada ketersediaan pelbagai jenis data tempatan.

 

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada data lama yang diperoleh semasa zaman penjajahan yang lebih tertumpu kepada kawasan pertanian. Kini, kita perlukan cerapan data baharu yang lebih komprehensif bagi mengenal pasti corak dan pola cuaca tempatan,” katanya.

 

Beliau turut menyarankan agar wujudnya integrasi antara agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk memastikan data yang dikumpulkan digunakan secara efektif dalam perancangan bandar dan pembangunan infrastruktur.

 

Dr. Mohd Yusoff turut menggariskan tiga peringkat langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan bagi menambah baik sistem pengairan negara.

 

“Antara langkah segera yang boleh dilaksanakan merangkumi penyelenggaraan berkala dan berkesan terhadap infrastruktur sedia ada. Bagi jangka sederhana, penambahbaikan amalan pengurusan dan pembangunan bandar dan luar bandar perlu diberi perhatian.

 

“Manakala bagi jangka panjang, pelaksanaan cerapan data berskala besar serta penggubalan dasar yang menyokong adaptasi terhadap perubahan iklim adalah penting,” katanya.

 

 

Beliau turut menegaskan perlunya penguatkuasaan ke atas pelantikan Pegawai Kawalan Alam Sekitar (EO) dalam setiap projek pembangunan, tanpa mengira saiz kawasan yang dibangunkan.

 

“EO perlu mempunyai kedudukan yang setara dengan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH). Ketika ini masih wujud ketidakseragaman perundangan terhadap pelantikan EO,” ujarnya.

 

Dr. Mohd Yusoff turut mengulas mengenai konsep “Sponge City” yang semakin popular di luar negara dan berkata Malaysia sebenarnya telah mempraktikkannya dalam bentuk tasik dan wetland di Putrajaya.

 

“Wetland ini berfungsi menakung air semasa musim hujan untuk digunakan semula semasa musim kemarau. Ia adalah contoh perancangan mampan yang perlu diperluas ke seluruh negara,” katanya.

 

Menurut beliau lagi, antara cabaran utama dalam pelaksanaan dasar-dasar berkaitan iklim dan pengairan adalah kelemahan komunikasi antara pihak kerajaan dan rakyat.

 

“Sebenarnya dasar sudah ada tetapi belum sampai ke peringkat pelaksanaan maka rakyat merasakan kerajaan tidak bertindak. Ini menimbulkan sentimen negatif memandangkan isu perubahan iklim amat terkait sertaboleh memberi kesan kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara,” katanya.

 

Beliau turut merujuk laporan Bank Negara Malaysia yang menganggarkan kerugian sekitar RM2 bilion akibat banjir pada tahun 2022 di pihak kerajaan.

 

“Namun angka sebenar mungkin jauh lebih besar jika kita ambil kira kehilangan nyawa, produktiviti dan peluang pelaburan,” katanya.

 

Beliau juga menyeru agar semua pihak, termasuk masyarakat untuk bersedia dan beradaptasi terhadap cabaran cuaca ekstrem yang kian meningkat serta memandang isu saliran bukan sekadar sebagai isu infrastruktur tetapi juga sebagai isu keselamatan dan kelangsungan hidup.

Tarikh Input: 15/10/2025 | Kemaskini: 15/10/2025 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYKQHAo~