Ringkasan Artikel
Sejak tahun 1992, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meraikan sambutan Hari Orang Kurang Upaya sedunia di peringkat antarabangsa (International Day of People with Disabilities) bagi mempromosi hak orang kurang upaya selain meningkatkan usaha kesedaran dan penghakupayaan bagi golongan orang kurang upaya di seluruh dunia.
Oleh: Dr. Mastura Mahamed
mastura.mahamed@upm.edu.my
Penyertaan orang kurang upaya dalam masyarakat belum memuaskan. Apakah peranan kita?
Sejak tahun 1992, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meraikan sambutan Hari Orang Kurang Upaya sedunia di peringkat antarabangsa (International Day of People with Disabilities) bagi mempromosi hak orang kurang upaya selain meningkatkan usaha kesedaran dan penghakupayaan bagi golongan orang kurang upaya di seluruh dunia.
Sambutan ini diadakan pada 3 Disember setiap tahun dan pada tahun ini temanya adalah "Penyelesaian Transformatif untuk Pembangunan Inklusif: peranan inovasi dalam menyemarakkan dunia yang boleh diakses dan saksama".
Tema ini menekankan peranan inovasi dalam pelbagai aspek kehidupan sebagai elemen transformatif untuk pembangunan inklusif dengan penerapan dan penggunaan dalam pelbagai aspek bagi memudahkan komuniti orang kurang upaya berintegrasi dengan masyarakat secara keseluruhannya.
Inisiatif ini adalah sejajar dengan Perkara 8 dan 10 dalam Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) yang memberi fokus terhadap kaedah mengintegrasi teknologi dapat meningkatkan akses kepada pekerjaan dan menjadi arus perdana di tempat kerja. Inovasi untuk pembangunan inklusif ketidakupayaan dalam mengurangkan ketidaksamaan dalam bidang pendidikan dan peluang pekerjaan.
Selain itu, matlamat ini uga menetapkan garis panduan membina sinergi inovasi, alat praktikal dan amalan baik untuk mengurangkan ketidaksamaan dalam sektor awam dan swasta, yang inklusif terhadap ketidakupayaan dan meningkatkan promosi dan penerimaan kepelbagaian di tempat kerja tanpa mengira bidang dengan Mengambil teladan amalan inklusif yang diamalkan oleh badan-badan sukan sedunia.
Perkara ini membawa mesej penting untuk meningkatkan penglibatan golongan kurang upaya dalam pembangunan mapan di peringkat tempatan dan antarabangsa perlu ditingkatkan memandangkan PBB dan Bank Dunia menganggarkan 15 peratus daripada jumlah penduduk dunia dan diri daripada mereka yang diklasifikasikan sebagai orang kurang upaya.
Ini menjadikan golongan kurang upaya adalah golongan yang terpinggir walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat menganggarkan Malaysia mempunyai lebih dari 4.8 juta individu kurang upaya. Menurut laporan yang diterbitkan pada tahun 2020 ramai yang tidak berdaftar atas faktor stigma masyarakat dan kurangnya kesedaran tentang manfaat sebagai OKU berdaftar.
Astro Awani baru-baru ini melaporkan sebanyak satu perpuluhan dua (1.2) bilion ringgit telah diperuntukkan untuk menyantuni golongan orang kurang upaya melalui Belanjawan 2023 peringkat kebangsaan yang dibentangkan Oktober lalu.
Sekiranya belanjawan ini diagihkan dan dilaksanakan dengan telus, transformasi melalui inovasi teknologi, kemudahan infrastruktur, akses kepada pendidikan dan pekerjaan akan memastikan perkhidmatan yang lebih meluas diberikan kepada untuk membantu meningkatkan peranan golongan kurang upaya dalam masyarakat
Isu ini adalah isu yang wajar diberi perhatian jika Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya termasuk golongan kurang upaya.
Langkah ini penting demi mewujudkan situasi menang-menang tanpa sebarang prejudis atau wujudnya situasi di mana golongan ini dipinggirkan daripada pembangunan arus perdana.Ini sekali gus dapat mengurangkan stigma dan promosi penglibatan dan penghakupayaan OKU dalam masyarakat.
Pendekatan inklusif melalui inovasi transformatif ini memerlukan kerjasama dan penglibatan dari semua pihak dalam seluruh lapisan masyarakat untuk menggembleng tenaga dan kepakaran agar dunia yang kita diami ini dapat diakses secara saksama oleh mereka yang kurang upaya.
Kesedaran untuk mewujudkan pendidikan inklusif sejak dari awal persekolahan sehingga peringkat universiti dengan mengambil kira penerimaan tahap ketidakupayaan mereka adalah titik tolak perubahan dengan mengintegrasikan penggunaan teknologi agar dapat pelajar-pelajar ini menggunakan alat bantuan teknologi untuk proses pembelajaran dan pekerjaan mereka pada masa akan datang.
Seterusnya kepentingan untuk mewujudkan transformasi tindakan lebih inklusif dan progresif dari segi infrastruktur dan sokongan sosial di kalangan ibu bapa, guru, pensyarah dan majikan berserta sokongan ekonomi bagi membolehkan komuniti ini mendapat akses kepada teknologi yang akan membolehkan mereka belajar dan bekerja serta Integrasi dan memainkan peranan yang lebih signifikan dalam masyarakat sekali gus mengurangkan jurang dan mengatasi keciciran komuniti OKU dalam lanskap pembangunan negara.
Institusi berkaitan pendidikan dan juga pasaran kerja melalui majikan disarankan memberi lebih banyak penekanan terhadap penggunaan alat bantu dan teknologi terkini bagi memudahkan individu kurang upaya mendapat peluang untuk menyumbang sebagai ahli masyarakat khasnya dan rakyat Malaysia secara amnya.
Penekanan terhadap penggunaan teknologi adalah satu ciri yang penting dalam proses tranformasi, Integrasi dan inklusiviti sebagai satu pilihan penyelesaian kerana teknologi bertindak sebagai pemuda cara dan penghubung individu orang kurang upaya dengan masyarakat sekeliling selain sebagai alat meningkatkan kemahiran mereka untuk menyumbang sebagai ahli masyarakat dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing.
Adalah diharapkan dengan sambutan hari orang kurang upaya sedunia ini dapat menyemarakkan lagi sokongan, peluang, akses dan integrasi orang kurang upaya dalam masyarakat Malaysia bagi membolehkan lebih ramai orang kurang upaya bersama-sama terlibat membangunkan tanah air kita yang tercinta ini.
Dr. Mastura Mahamed Aktivis dan Pengamal Inklusitiviti dan orang kurang upaya +60123799567 |
Tarikh Input: 09/12/2022 | Kemaskini: 09/12/2022 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA