Penjagaan Pesakit Kritikal Di Rumah Semasa Hari Raya Perlu Perancangan Rapi | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Penjagaan pesakit kritikal di rumah semasa Hari Raya perlu perancangan rapi

Penjagaan pesakit kritikal di rumah semasa Hari Raya perlu perancangan rapi

Ringkasan Artikel
Musim perayaan sering menjadi cabaran bagi keluarga yang menjaga pesakit kritikal di rumah, apabila persiapan menyambut Hari Raya mengganggu rutin harian dan memberi tekanan fizikal serta emosi kepada penjaga.


 

Musim perayaan sering menjadi cabaran bagi keluarga yang menjaga pesakit kritikal di rumah, apabila persiapan menyambut Hari Raya mengganggu rutin harian dan memberi tekanan fizikal serta emosi kepada penjaga.

 

Beban yang ditanggung oleh penjaga bukan hanya terhad kepada aspek fizikal tetapi turut melibatkan tekanan emosi, mental dan kewangan.

 

Pensyarah Jabatan Kejururawatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Soh Kim Lam berkata semangat kekeluargaan dan sokongan emosi amat penting dalam memastikan pesakit kritikal menerima penjagaan berkualiti, terutama dalam tempoh perayaan yang sibuk.

 

“Menjaga pesakit kritikal di rumah adalah satu tanggungjawab besar tetapi dengan perancangan yang baik dan sokongan yang mencukupi, keluarga dapat menguruskan cabaran ini dengan lebih berkesan,” katanya.

 

Tambah beliau, rutin penjagaan pesakit mungkin terganggu ketika sambutan Hari Raya kerana suasana rumah yang lebih sibuk dan kehadiran tetamu yang ramai. Tugas-tugas penting seperti pemberian ubat, pemantauan tanda vital dan penjagaan kebersihan diri pesakit boleh terjejas.

 

“Akses kepada perkhidmatan kesihatan mungkin menjadi lebih sukar sekiranya berlaku kecemasan terutama di kawasan luar bandar kerana kebanyakan klinik dan farmasi beroperasi dalam waktu terhad atau ditutup sepanjang cuti perayaan,” katanya.

 

Prof. Dr. Soh berkata, bagi mengurangkan risiko ini, keluarga disarankan mengambil langkah persediaan untuk penjagaan lebih teratur bagi mengurangkan risiko kecemasan.

 

“Ahli keluarga perlu membuat perancangan awal dengan memastikan bekalan ubat dan peralatan perubatan asas yang mencukupi sebelum cuti perayaan bermula serta menyediakan peralatan perubatan asas bagi memantau keadaan pesakit,” katanya.

 

Tambahnya, penting untuk ahli keluarga mengetahui lokasi pusat kesihatan yang masih beroperasi sepanjang musim perayaan serta menyimpan nombor telefon perkhidmatan kecemasan.

 

 

“Bagi memastikan kesejahteraan pesakit ahli keluarga perlu mengatur giliran penjagaan dalam kalangan mereka bagi memastikan pesakit tetap menerima penjagaan rapi walaupun ketika kesibukan perayaan serta cakna dengan perkhidmatan bagi mendapatkan bantuan perubatan sekiranya diperlukan,” katanya.

 

Prof. Dr. Soh berkata, hospital dan perkhidmatan perawatan domisiliari memainkan peranan penting dalam membimbing penjaga bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit di rumah, termasuk pada musim perayaan.

 

“Latihan mengenai teknik asas penjagaan, penggunaan peralatan perubatan serta pemantauan tanda-tanda amaran bagi sebarang komplikasi turut disediakan bagi membantu penjaga melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan,” katanya.

 

Tambah beliau, hospital dan perkhidmatan perawatan domisiliari turut menawarkan panduan berkaitan penyusunan jadual rawatan, penjagaan kebersihan pesakit, serta pelan tindakan kecemasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

 

“Sokongan berterusan melalui lawatan jururawat, terapi pemulihan, dan kaunseling juga membantu meningkatkan keyakinan penjaga dalam menguruskan pesakit. Dengan pendekatan ini  pesakit dapat menerima penjagaan terbaik di rumah walaupun dalam suasana perayaan,” katanya.

 

Prof. Dr. Soh berkata, penjagaan pesakit kritikal semasa musim perayaan memerlukan perancangan teliti serta sokongan moral dan fizikal daripada keluarga serta masyarakat.

 

“Kesedaran dan perancangan awal bersama ahli keluarga dapat membantu mengurangkan tekanan serta memastikan pesakit menerima penjagaan terbaik walaupun dalam suasana perayaan,” katanya.

 

 

 

Selain itu, Prof. Dr. Soh turut menegaskan sokongan masyarakat dalam membantu keluarga penjaga memainkan peranan penting dalam meringankan beban keluarga yang menjaga pesakit kritikal.

 

“Dengan memperoleh bantuan daripada komuniti, keluarga dapat menikmati sambutan Hari Raya dengan lebih tenteram tanpa menjejaskan kesihatan dan kebajikan pesakit kritikal di rumah.

 

Beliau turut akui penjaga pesakit kritikal sering mengalami tekanan psikologi akibat tanggungjawab dan kebimbangan terhadap keadaan pesakit serta keletihan emosi melihat penderitaan orang tersayang.

 

“Jiran dan rakan-rakan boleh membantu dengan menyumbangkan tenaga dalam persiapan Hari Raya seperti memasak, menghias rumah atau menguruskan keperluan asas keluarga pesakit.

 

“Mereka juga boleh menawarkan bantuan praktikal seperti membeli barangan keperluan, menyediakan pengangkutan ke hospital atau sekadar meluangkan masa dengan pesakit untuk memberi hiburan,” katanya.

Tarikh Input: 21/03/2025 | Kemaskini: 21/03/2025 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDWEAM~