Musang King Malaysia Perlu Pertahan Status Premium Di Pasaran Global | Universiti Putra Malaysia 99 exweb00
» ARTIKEL » Musang King Malaysia perlu pertahan status premium di pasaran global

Musang King Malaysia perlu pertahan status premium di pasaran global

Ringkasan Artikel
Malaysia perlu mempertahankan status premium Musang King di pasaran global dengan mengekalkan standard kualiti, sistem penggredan yang lebih sistematik serta penjenamaan yang kukuh bagi memastikan durian tempatan terus berdaya saing di pasaran antarabangsa.


 

Oleh: Husnina Zahra Hadri

 

 

SERDANG, 27 Julai – Malaysia perlu mempertahankan status premium Musang King di pasaran global dengan mengekalkan standard kualiti, sistem penggredan yang lebih sistematik serta penjenamaan yang kukuh bagi memastikan durian tempatan terus berdaya saing di pasaran antarabangsa.

 

 

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Firdaus Ismail, berkata Malaysia tidak seharusnya bersaing dengan negara seperti Thailand dan Vietnam dari segi jumlah pengeluaran, sebaliknya perlu memanfaatkan keunikan durian tempatan sebagai nilai tambah utama di pasaran.

 

 

“Negara kita sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri kerana Musang King dan Black Thorn dituai secara semula jadi apabila gugur dari pokok serta menghasilkan rasa, aroma dan tekstur yang sukar ditandingi. Keunikan inilah yang perlu terus dipertahankan sebagai identiti durian premium negara.

 

 

“Jika kita cuba menyaingi negara lain dari segi kuantiti semata-mata, kita berisiko megorbankan nilai yang membezakan durian Malaysia daripada pesaing,” katanya.

 

 

Tambah beliau, peningkatan pengeluaran durian sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut membawa cabaran baharu apabila lambakan bekalan menyebabkan harga sesetengah varieti premium menurun memberi tekanan kepada pengusaha.

 

 

“Keadaan tersebut boleh mendorong sebahagian pengusaha menuai buah lebih awal atau mengurangkan standard kualiti bagi mempercepatkan jualan serta berpotensi menjejaskan reputasi Musang King sebagai durian premium di pasaran antarabangsa.

 

 

“Cabaran sebenar bukan sekadar meningkatkan pengeluaran tetapi bagi memastikan setiap buah yang dipasarkan memenuhi standard kualiti yang konsisten. Reputasi yang dibina selama bertahun-tahun boleh terjejas sekiranya kualiti tidak dikawal dengan baik,” katanya.

 

 

Dr. Firdaus berkata, Malaysia juga perlu memperkukuh sistem pensijilan, penggredan dan kebolehkesanan supaya pengguna antarabangsa dapat mengesahkan asal usul setiap buah durian yang dibeli.

 

 

“Pengguna bukan sahaja mahu menikmati rasa premium, malah mahu mengetahui asal usul produk yang dibeli.

 

 

“Sistem pengesahan yang telus mampu meningkatkan keyakinan pengguna sekali gus mempertahankan nilai premium durian Malaysia di pasaran global,” katanya.

 

 

Beliau berpandangan, negara juga perlu memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian bekalan, logistik, pembungkusan serta infrastruktur pengeksportan tanpa menjejaskan ciri semula jadi buah tersebut.

 

 

“Apa yang perlu diindustrikan ialah sistem, bukannya buah. Pengusaha durian di Malaysia tidak perlu mengubah identiti duriannya untuk bersaing sebaliknya memperkukuh aspek penggredan, pensijilan, logistik dan pemasaran agar kelebihan yang dimiliki terus menjadi nilai utama di pasaran dunia,” katanya.

Tarikh Input: 27/07/2026 | Kemaskini: 27/07/2026 | zarithsofea

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZHbMAW~