Jangan Biarkan Si Bulus Terabai Di Kampung! Apakah Persediaan Yang Wajib Dibuat? | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Jangan Biarkan Si Bulus Terabai di Kampung! Apakah Persediaan yang Wajib dibuat?

Jangan Biarkan Si Bulus Terabai di Kampung! Apakah Persediaan yang Wajib dibuat?

Ringkasan Artikel
Menurut Pegawai Veterinar, Hospital Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Alimah Rahman, pemilik kucing perlu peka dengan keperluan haiwan kesayangan mereka semasa di kampung agar tidak menyebabkan tekanan yang berlebihan.


 

 

Bagi mereka yang ingin pulang ke kampung beraya, pasti si bulus juga akan ikut serta jika pemilik tidak mahu menggunakan khidmat hotel kucing atau penjaga kucing sepanjang cuti Hari Raya.

Namun, bagi yang memilih untuk membawa haiwan peliharaan bersama, persediaan perlu dilakukan terutama dari segi persekitaran baharu di kampung.

Kucing adalah haiwan yang sangat bergantung pada rutin, dan sebarang gangguan boleh menyebabkan tekanan, sekali gus menjejaskan kesihatan mereka. Oleh itu, penting bagi pemilik memahami keperluan kucing dan mengambil langkah-langkah yang sesuai agar si bulus dapat menyesuaikan diri dengan baik.

 

 

Menurut Pegawai Veterinar, Hospital Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Alimah Rahman, pemilik kucing perlu peka dengan keperluan haiwan kesayangan mereka semasa di kampung agar tidak menyebabkan tekanan yang berlebihan.

 

Persediaan Sebelum Perjalanan


1. Konsultasi Veterinar

Sebelum perjalanan, pastikan kucing dalam keadaan sihat dengan membawa mereka untuk pemeriksaan di klinik veterinar. Jika kucing mempunyai masalah kesihatan tertentu, doktor veterinar boleh mencadangkan rawatan atau ubat yang sesuai untuk perjalanan jauh.


2. Pemeriksaan Kesihatan dan Vaksinasi

Pastikan kucing telah menerima vaksinasi dan rawatan cacing serta parasit sebelum dibawa ke persekitaran baharu. Ini penting bagi mengelakkan risiko penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan mereka semasa di kampung.

3. Bekalan Ubatan dan Keperluan Asas

Bawa ubat-ubatan kucing dan simpan di dalam bekas yang bersesuaian dengan label yang jelas. Jika terdapat ubatan yang sensitif terhadap suhu, seperti suplemen probiotik, gunakan bekas berisi ais kering untuk memastikan ia kekal dalam keadaan baik.


Persediaan di Kampung


Ruang dan Masa untuk Menyesuaikan Diri

Sama seperti manusia, kucing juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Berikan mereka ruang untuk bersembunyi dan berasa selamat sebelum membiarkan mereka meneroka kawasan secara perlahan-lahan.

Mengekalkan Rutin Harian

Cuba kekalkan rutin harian mereka seperti waktu makan, tidur, dan bermain. Gunakan jenis pasir yang sama untuk tempat buang air bagi mengelakkan kucing menahan diri daripada membuang air kerana tidak biasa dengan bau atau tekstur yang berbeza.

Penggunaan Feromon untuk Mengurangkan Tekanan

Feromon sintetik seperti Feliway boleh membantu menenangkan kucing kerana ia melepaskan bau yang menyerupai feromon semula jadi mereka. Pastikan cara penggunaan yang betul untuk mendapatkan kesan yang optimum.

 

Pastikan kawasan sekitar bebas daripada bahaya seperti haiwan liar, jalan raya yang sibuk, atau bahan toksik yang boleh membahayakan kucing. Sebelum membawa kucing pulang, pastikan ahli keluarga di kampung tidak mempunyai alahan yang serius terhadap kucing. Ini bagi memastikan suasana yang lebih harmoni dan selesa untuk semua pihak.

 

Jika perjalanan ke kampung terlalu jauh atau keadaan di sana tidak sesuai (contohnya, risiko penyakit atau cuaca yang ekstrem), pertimbangkan alternatif seperti menyediakan penjaga kucing yang dipercayai di rumah atau menggunakan perkhidmatan hotel kucing yang profesional.

 

Tarikh Input: 20/03/2025 | Kemaskini: 20/03/2025 | syamilakamarul

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDUWAX~