Ramadan Lestari: Kurangkan Sisa, Tingkatkan Kesedaran | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Ramadan Lestari: Kurangkan Sisa, Tingkatkan Kesedaran

Ramadan Lestari: Kurangkan Sisa, Tingkatkan Kesedaran

Article Summary
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah dan keberkatan, tetapi juga masa untuk kita merenung impak gaya hidup terhadap alam sekitar. Setiap tahun, peningkatan sisa pepejal sepanjang Ramadan menjadi isu yang membimbangkan, terutama sisa makanan dan pembungkusan plastik yang meningkat akibat budaya pembaziran.


Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad
Wartawan Pelatih
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: MD Nasir Hussin

 

 

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah dan keberkatan, tetapi juga masa untuk kita merenung impak gaya hidup terhadap alam sekitar. Setiap tahun, peningkatan sisa pepejal sepanjang Ramadan menjadi isu yang membimbangkan, terutama sisa makanan dan pembungkusan plastik yang meningkat akibat budaya pembaziran.

 

Menyedari isu peningkatan sisa pepejal sepanjang Ramadan, Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Antarabangsa), Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Latifah Abd Manaf berkongsi kepakaran beliau.

 

Beliau berkata sisa pepejal sebenarnya sangat dekat dengan kehidupan kita kerana setiap individu adalah penjana utama kepada penghasilan sampah. Ramadan menjadi bulan yang menyumbang kepada peningkatan sisa pepejal kerana kebanyakan orang memasak di rumah, menghasilkan sisa dari penyediaan makanan serta lebihan makanan yang tidak dihabiskan.

 

“Setiap kali Ramadan, kita cenderung membeli makanan secara berlebihan, terutama di bazar Ramadan. Menu unik yang hanya muncul setahun sekali membuatkan ramai tidak mahu melepaskan peluang mencuba, akhirnya mendorong pembelian berlebihan. 

 

Mentaliti berbuka juga berbeza, kalau hari biasa kita hanya makan hidangan utama, bulan puasa mesti lengkap dengan air manis, pencuci mulut, dan makanan pembuka selera. Akhirnya, banyak makanan yang tidak dihabiskan dan dibuang begitu saja,” jelasnya.

 

 

Prof. Dr. Latifah menekankan bahawa pengurusan sisa pepejal yang berkesan perlu bermula dengan langkah yang sistematik dan konsisten.

 

"Salah satu cara untuk mengawal sisa adalah dengan melakukan audit sisa. Timbang dan catat jumlah sampah yang dihasilkan setiap hari, kemudian pantau secara berterusan. Dari situ, kita dapat melihat corak penggunaan dan seterusnya mengurangkan jumlah sisa yang dibuang," jelasnya.

 

Beliau turut menggalakkan amalan pengasingan sampah menggunakan sistem tiga tong (3-bin system) yang telah disediakan, bagi memastikan sisa dapat dikendalikan dengan lebih teratur dan efisien.

 

Selain itu, konsep 3R: Reduce, Reuse, dan Recycle turut ditekankan sebagai asas utama dalam pengurusan sisa yang mampan.

 

“Susunan 3R- Reduce, Reuse, Recycle ini penting untuk difahamkan dengan betul. Reduce bermaksud mencegah penghasilan sisa sejak awal, contohnya dengan mengamalkan ‘Say No to Plastic’Reuse pula adalah menggunakan semula sesuatu bahan, seperti botol plastik minuman, botol sos, atau botol kicap. Akhir sekali, Recycle melibatkan proses menukar bahan buangan kepada produk baru, sama ada dalam bentuk yang sama atau berbeza," tambahnya.

 

 

Prof. Dr. Latifah turut menegaskan bahawa perubahan ke arah pengurangan sisa pepejal bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sehari, tetapi memerlukan usaha berterusan dan kesedaran kolektif.

 

"Lihat sahaja Jepun, mereka tidak menjadi negara zero-waste dalam sekelip mata. Mereka bermula secara berperingkat sehingga akhirnya berjaya membentuk budaya sifar sisa. Sama seperti situasi COVID-19 dahulu, pada awalnya, ramai tidak biasa memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, atau mengamalkan jarak selamat. Tetapi lama-kelamaan, ia menjadi norma dan sebati dalam budaya masyarakat," jelasnya.

 

Beliau turut menekankan bahawa usaha ini memerlukan pemimpin dan teladan yang mampu mencetuskan perubahan.

 

"Seseorang perlu bermula, menjadi contoh, dan memberi inspirasi kepada orang lain. Apabila semakin ramai yang melakukannya, rasa tanggungjawab akan berkembang secara kolektif. Jika hanya seorang yang mengamalkannya, impaknya mungkin kecil. Tetapi apabila semua orang terlibat, perubahan besar dapat dilihat," tambahnya.

Date of Input: 20/03/2025 | Updated: 20/03/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDUWAD~