RAKYAT PERLU BINA KEYAKINAN DALAM MENGADAPTASI TEKNOLOGI AI DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » RAKYAT PERLU BINA KEYAKINAN DALAM MENGADAPTASI TEKNOLOGI AI DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

RAKYAT PERLU BINA KEYAKINAN DALAM MENGADAPTASI TEKNOLOGI AI DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Article Summary
Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan rukun islam yang ketiga. Dalam surah Al-Baqarah, ayat 183, Allah berfirman, ‘Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. Melalui ayat ini, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa setiap hari, bermula daripada terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari, selama sebulan pada bulan Ramadhan.


Oleh : Dr. Syafila Kamarudin

Ketua Laboratori Generasi Siber

Institut Pengajian Sains Sosial, UPM

 

Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan rukun islam yang ketiga. Dalam surah Al-Baqarah, ayat 183, Allah berfirman, ‘Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. Melalui ayat ini, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa setiap hari, bermula daripada terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari, selama sebulan pada bulan Ramadhan.

 

Corak pemakanan sering dipengaruhi oleh amalan keagamaan. Ini kerana kebanyakan agama menetapkan standard, larangan dan corak pemakanan tertentu. Bagi umat Islam, corak pemakanan berubah dengan ketara semasa bulan Ramadan.

 

Allah menjanjikan ketakwaan kepada orang yang berpuasa. Namun begitu, keistimewaan berpuasa di bulan Ramadan bukan sahaja dari sudut rohani tetapi juga memberi pelbagai kelebihan lain terutamanya dari segi kesihatan.

 

Puasa menyebabkan pelbagai perubahan fisiologi dalam badan, termasuk perubahan dalam tahap hormon, laluan metabolik, dan proses perbaikan sel.

 

Perubahan ini boleh membawa pelbagai manfaat kesihatan, seperti peningkatan sensitiviti insulin, peningkatan pembakaran lemak, dan pengurangan keradangan. Puasa juga telah terbukti meningkatkan fungsi kognitif, dan melindungi daripada penyakit yang berkaitan dengan usia.

Bulan Ramadan merupakan penanda aras kepada kita untuk mengawal diri daripada makan secara berlebihan dan meninggalkan amalan gaya hidup  yang boleh memudaratkan kesihatan.

 

Ramadan dikaitkan dengan perubahan besar dalam corak pemakanan dan gaya hidup umat islam khususnya pengambilan tenaga, kumpulan makanan, makro-dan mikronutrien.

 

Pengubahsuaian tabiat makan semasa berpuasa juga mempengaruhi jenis dan jumlah makanan yang diambil.Contohnya, umat islam hanya makan dua hidangan utama iaitu sahur sebelum fajar dan berbuka puasa semasa matahari terbenam.

 

Corak tidur dan masa yang dihabiskan untuk aktiviti harian juga berubah semasa tempoh berpuasa. Kajian terhadap corak tidur dan tabiat makan sebelum Ramadhan, semasa minggu pertama Ramadan, dan semasa minggu ketiga Ramadan di Riyadh, Arab Saudi menunjukkan bahawa mereka yang berpuasa cenderung mempunyai jumlah tidur yang pendek dan aktiviti sedentari juga meningkat pada waktu siang.

 

Malah, aktiviti tidak sihat seperti merokok diharamkan semasa berpuasa. Keadaan ini menyebabkan pendedahan asap rokok sekunder dikalangan perokok menurun secara signifikan pada bulan Ramadan. 

 

Setelah berpuasa selama hampir 30 hari, badan kita telah memasuki fasa adaptasi tubuh. Pada hari-hari biasa, makanan yang dimakan ditukarkan kepada glukosa untuk digunakan sebagai tenaga.

 

Semasa berpuasa, tubuh akan menggunakan simpanan glikogen hati untuk tenaga. Apabila simpanan tersebut telah habis, tubuh akan beralih kepada simpanan lemak yang akan dibakar untuk menghasilkan tenaga. 

 

Puasa yang berterusan akan menghasilkan zat keton oleh hati sebagai sumber tenaga alternatif kepada tubuh bagi memelihara jisim dan fungsi otot.

 

Adaptasi metabolisme badan ketika berpuasa ini membantu mengawal selera makan dan memperlahankan metabolisme. Hasilnya, puasa berpotensi menurunkan komposisi lemak dalam badan dan mengawal berat badan secara keseluruhan.

Selain itu, puasa dapat membantu menetapkan isyarat lapar dan kenyang dalam badan, menjadikan mereka yang berpuasa lebih mudah untuk mengamalkan tabiat makan yang lebih sihat dan mengelakkan makan berlebihan atau makan mengikut emosi.

 

Kajian meta-analisis menunjukkan bahawa puasa Ramadhan dapat menurunkan berat badan secara purata 1kilogram sebulan. Walaupun penurunan ini sedikit, jika umat islam terus mengamalkan gaya hidup sihat dan mengurangkan kalori makanan secara kosisten selepas berpuasa, ia akan memberikan manfaat yang besar, terutamanya kepada individu berlebihan berat badan dan obes.

 

Berbuka puasa bukan lah tiket untuk balas dendam dan makan secara tidak sihat. Situasi ini juga dapat dilihat di Malaysia di mana orang ramai cenderung untuk makan makanan berlemak dan berkalori tinggi serta minum minuman manis ketika berbuka.

 

Untuk sesetengah orang yang peka terhadap kesihatan dan memahami tujuan berpuasa untuk kesihatan, mereka tidak hanya menahan lapar dan dahaga pada siang hari, tetapi juga mengawal jumlah makanan semasa berbuka supaya tidak berlebihan.

 

Bagi golongan ini, mereka memastikan hidangan berbuka puasa kaya dengan pelbagai jenis makanan yang sihat, seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, dan lauk atau protein yang kurang lemak dan minyak.

 

Diet sihat seperti ini kaya dengan vitamin, mineral, antioksidan, dan serat, yang menyokong pelbagai fungsi badan dan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, dan kanser.

 

Memastikan pengambilan air yang mencukupi juga penting untuk menjaga hidrasi badan dan memastikan fungsi sistem pencernaan yang baik.

 

Rutin senaman juga boleh diteruskan sama ada sebelum sahur atau 1 hingga 2 jam sebelum berbuka puasa bagi membantu penghadaman dan membakar kalori yang berlebihan.

 

Menjelang Hari Raya Aidilfiri  yang bakal tiba, perubahan corak pemakanan dan gaya hidup sihat semasa bulan puasa ini adalah penting untuk diteruskan, terutamanya di kalangan individu yang berisiko kepada penyakit metabolik seperti obesiti, diabetes, dan hipertensi.

 

Anggaplah kita telah melatih diri mengawal nafsu makan selama sebulan dan badan kita telah biasa dengan rutin puasa.

 

Oleh itu, amalan gaya hidup sihat dan pengurangan kalori makanan yang telah diamalkan semasa berpuasa selama 30 hari ini tidak disia-siakan begitu sahaja. Malah dapatan kajian mendapati berat badan yang hilang semasa berpuasa  akan kembali apabila kita mengamalkan corak pemakanan sebelum Ramadhan.

 

Maka beruntunglah orang yang meneruskan amalan pemakanan dan gaya hidup sihat selepas berpuasa. Pasti, kita akan merasai nikmatnya kerana badan kita telah sebati dengan amalan tersebut.

Date of Input: 17/04/2024 | Updated: 17/04/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLZFAG~