Perubahan Iklim: Kerajaan Baru, Nafas Baru | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Perubahan Iklim: Kerajaan Baru, Nafas Baru

Perubahan Iklim: Kerajaan Baru, Nafas Baru

Article Summary
Akhirnya telah terjawab persoalan yang menghantui minda rata-rata rakyat Malaysia sejak beberapa hari yang lalu setelah sanggup beratur panjang, berjemurkan matahari dan merantau jauh ke halaman kampung untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi memilih barisan pemimpin yang bakal mengemudi negara ini dan mendukung sistem demokrasi negara.


Oleh: Mogesh Sababathy

Akhirnya telah terjawab persoalan yang menghantui minda rata-rata rakyat Malaysia sejak beberapa hari yang lalu setelah sanggup beratur panjang, berjemurkan matahari dan merantau jauh ke halaman kampung untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi memilih barisan pemimpin yang bakal mengemudi negara ini dan mendukung sistem demokrasi negara. Setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Kami rakyat Malaysia merayu agar kerajaan baru ini dengan serta merta memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Hal ini adalah penting dalam keadaan negara yang berada dalam tempoh yang sangat kritikal disebabkan oleh isu-isu seperti wabak COVID-19 yang masih belum ada penamatnya dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu serta kenaikan kadar inflasi yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat. Selain itu, penekanan juga haruslah diberikan kepada isu-isu berkaitan alam sekitar memandangkan impak perubahan iklim dan pemanasan global semakin lama semakin jelas mengancam di peringkat global dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Dalam masa dua tahun ini sahaja, pelbagai bencana alam yang luar biasa telah kita alami akibat daripada cuaca ekstrem dan tidak menentu termasuklah tragedi banjir besar ekoran penurunan hujan yang berterusan. Kejadian banjir yang menimpa negara pada hujung tahun lalu disifatkan sebagai antara fenomena terburuk dalam sejarah Malaysia sehingga mengorbankan nyawa mengatasi jumlah kejadian banjir-banjir sebelum ini selain turut menyebabkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion kepada kerajaan Malaysia. Episod tragedi ini berulang sekali lagi dan sehingga ke hari ini jumlah mangsa banjir di beberapa negeri masih sedang meningkat sehingga dilaporkan mengganggu kelangsungan hidup rakyat terutama para pengundi dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam proses pilihanraya tempoh hari. Meskipun diberi amaran oleh para saintis dengan sokongan data-data saintifik yang menegaskan bahawa tindakan untuk mengadakan pilihanraya dalam musim banjir adalah sebuah tindakan yang berisiko dan mungkin menjadi satu kesilapan yang besar, ibarat lulus tidak berselam, hilang tidak bercari, kerajaan terdahulu masih memutuskan untuk terus membubarkan parlimen untuk mengadakan PRU15.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak belajar daripada kesilapan. Lebih teruk lagi apabila kepentingan rakyat dan sains seperti diketepikan sama sekali. Isu-isu lain seperti pembangunan industri yang tidak terancang, pembalakan, dan pencemaran juga semakin lama semakin menjadi-jadi. Adakah hanya selepas kesan yang lebih teruk menimpa negara ini kita akan mula mengambil tindakan? Laporan Penilaian Perubahan Iklim Ke-6 dikeluarkan Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) melaporkan bahawa impak perubahan iklim khususnya suhu global yang kini berada di tahap 1.1 darjah selsius akan terus meningkat dan menjadi lebih teruk dalam masa yang terdekat sekiranya tindakan yang pantas dan efektif tidak diambil untuk mengehadkan kenaikan suhu melebihi 1.5 darjah selsius. Hal ini kerana jika suhu dunia mencecah 2 darjah selsius, bumi ini akan berada di tahap yang tidak boleh diduduki oleh manusia lagi. Ia juga menyatakan bahawa tindakan iklim yang berfokuskan kepada langkah-langkah mengadaptasi dan memitigasi haruslah menjadi keutamaan negara-negara seluruh dunia terutamanya bagi yang paling terdedah kepada perubahan iklim seperti Malaysia sendiri sebagai sebuah negara yang masih membangun.

Hal ini turut menjadi agenda utama di Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP27 yang telah berlangsung selama dua minggu di Mesir yang menekankan supaya pemimpin-pemimpin dunia kekal komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara drastik seterusnya melaksanakan Perjanjian Perubahan Iklim Paris 2015 dengan berusaha mencapai sasaran iklim yang ditetapkan oleh setiap negara. Antonio Guterres, Setiausaha Agung PBB juga menyeru supaya tindakan iklim terus dipergiatkan kerana kita masih berada dalam tempoh yang sangat genting dan walaupun masih belum terlambat, kita tidak ada masa yang lama untuk melakukan perubahan. Antara keputusan yang paling signifikan diambil di sidang kali ini adalah untuk mewujudkan Dana Kerugian dan Kerosakan yang mana merujuk kepada sebuah dana bagi membiayai kos bagi impak yang disebabkan oleh perubahan iklim untuk membantu negara-negara miskin dan terjejas.

Saya telah berpeluang untuk menghadiri persidangan ini bersama delegasi Malaysia dengan sokongan Kementerian Alam Sekitar dan Air dan UNICEF Malaysia. Delegasi Malaysia telah diketuai oleh Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan turut dihadiri oleh Tan Sri Zakri Hamid, Penasihat Khas Perubahan Iklim kepada Perdana Menteri. Pada pemerhatian saya, Malaysia telah menyumbang secara aktif dan beberapa agenda utama yang dibawa oleh kerajaan Malaysia ke COP-27 termasuklah agenda berkaitan pasaran karbon, proses pelaporan dan semakan sasaran, pembiayaan iklim, dan proses “pengambilan stok (stocktake) global” selaras dengan matlamat memenuhi objektif Perjanjian Paris. Walaupun proses rundingan kekal sebagai fokus utama bagi delegasi Malaysia di persidangan tersebut, kerajaan Malaysia juga menggalakkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil-wakil daripada sektor awam, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), belia dan komuniti Orang Asli dengan penubuhan Pavilion Malaysia.

Sifat keterangkuman dan kebersamaan adalah penting dan penglibatan kumpulan yang pelbagai di meja akan membina hubungan yang kukuh dan mampan dan membantu mendapatkan perspektif yang komprehensif untuk perbincangan dan proses membuat keputusan. Terutamanya apabila merujuk kepada golongan muda, mereka adalah yang paling kurang menyumbang kepada perubahan iklim, tetapi mereka juga yang paling terdedah kepada kesannya. Bagaimanapun, mereka bukan sahaja menjadi mangsa perubahan iklim. Mereka juga boleh menjadi penyumbang aktif kepada tindakan iklim. Sebuah laporan oleh UNICEF dan UNDP menunjukkan bahawa 92% golongan muda di Malaysia berpendapat bahawa perubahan iklim adalah satu krisis. Jadi, adalah penting untuk mendengar, mengakui dan bertindak atas tuntutan mereka untuk melindungi hak mereka terhadap persekitaran yang sihat dan mampan.

Saya menyeru khususnya kepada kerajaan baharu yang bakal membentuk kabinet menteri di parlimen supaya segala tindakan dan keputusan yang diambil adalah berteraskan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Bagi memperkukuhkan tindakan iklim di negara kita, antara langkah yang boleh diambil termasuklah mengkaji semula, mengemaskini dan memperkukuhkan penguatkuasaan polisi dan dasar-dasar yang berkaitan alam sekitar. Selain itu, keterlibatan pelbagai pihak termasuk golongan muda dan golongan terpinggir dalam proses perundingan dan proses mengambil keputusan yang berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim haruslah dipergiatkan. Di samping itu, golongan muda juga haruslah dididik mengenai tadbir urus alam sekitar dan didedahkan kepada polisi dan dasar awam yang berkaitan seterusnya menggalakkan perundingan dan perkongsian pendapat secara dua hala dengan pihak kerajaan bersama anak-anak muda ini dengan memberi platform untuk mereka menyumbang dalam usaha menangani isu perubahan iklim. Seterusnya, kerajaan juga haruslah mengatur strategi yang efisien bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang yang efektif dan terbuka dalam proses perlindungan alam sekitar khususnya penghukuman penjenayah alam sekitar. Akhir sekali, kerjasama di antara sektor awam dan swasta termasuk perusahaan kecil dan sederhana haruslah diperkukuhkan untuk membantu dan menggalakkan peralihan tenaga secara adil ke arah yang lebih mampan.

Semoga kerajaan Malaysia yang baru ini memberi nafas baru kepada perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim!

Mogesh Sababathy
Aktivis Belia Alam Sekitar
Pengasas Bersama Project Ocean Hope
Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM) 

+60194441998

mogeshsababathy@gmail.com

Date of Input: 25/11/2022 | Updated: 25/11/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMaAAr~